KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) melantik Datuk Rusli Jaafar sebagai Pengerusi baharu berkuat kuasa 1 April lepas.
HRD Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan Rusli sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dari 2022 hingga 2025 selepas memulakan perkhidmatan dengan suruhanjaya berkenaan yang sebelum ini dikenali sebagai Jabatan Pembangunan Koperasi Malaysia pada 1993.
Berpengalaman luas lebih 32 tahun dalam sektor perkhidmatan awam, kepimpinan beliau telah membawa kepada pemerkasaan institusi, memacu transformasi organisasi dan memperluas impak pembangunan sosioekonomi.
Pemegang ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh sektor kewangan dan ekonomi sebagai pemacu strategik pembangunan negara yang inklusif serta mampan.
“Di bawah kepimpinan beliau, SKM mencatat perkembangan yang memberangsangkan. Sehingga Disember 2025, jumlah aset keseluruhan gerakan koperasi di Malaysia yang diuruskan oleh SKM dianggarkan mencecah RM186 bilion dengan jumlah syer dan yuran melebihi RM18 bilion sekali gus mencerminkan peranan signifikan sektor koperasi dalam pembangunan sosioekonomi negara.
“Sehingga tahun 2025, jumlah tunggakan pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM) berjaya dikurangkan kepada RM11.33 juta daripada RM20.67 juta sebelum ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa pada 2024, buat pertama kali pendaftaran koperasi di bawah SKM melepasi 1,000 koperasi setahun berbanding purata sekitar 600 koperasi setahun sebelum itu, hasil pelaksanaan program kesedaran dan galakan berkoperasi secara lebih agresif dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, SKM berjaya memperoleh pengiktirafan Sijil Audit Bersih bagi penyata kewangan tahun berakhir 31 Dis 2022, 2023 dan 2024.
“Sumbangan beliau juga telah diiktiraf melalui beberapa Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu pada tahun 2024.
"Di bawah kepimpinan beliau, SKM turut menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan Penghargaan Khas Organisasi pada Majlis Malam Anugerah Francais Malaysia 2024,” menurut kenyataan itu.
HRD Corp memaklumkan pelantikan Rusli mencerminkan komitmen agensi itu untuk terus memperkukuh mandatnya dalam menerajui pembangunan kemahiran, latihan tenaga kerja dan kelestarian modal insan sejajar dengan keutamaan nasional selain keperluan majikan serta tenaga kerja yang sentiasa berkembang.
-- BERNAMA