Skip to main content

Malaysia

Urusan tukar hak milik kenderaan secara dalam talian ditangguh sementara mulai hari ini - KP JPJ

PUTRAJAYA, 30 Jan -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli ketika sidang media Nombor Pendaftaran Istimewa Siri FH Sempena Hari Wilayah Persekutuan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya hari ini.
Aedy Fadly memaklumkan, tindakan kawalan serta-merta itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan penangguhan sementara semua urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian, berkuat kuasa hari ini. 

Penangguhan itu merangkumi semua saluran digital termasuk portal awam, kiosk, serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan kawalan serta-merta itu diambil susulan beberapa aduan rasmi dan aduan di media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.

"JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ

"Sehubungan itu, bermula 25 Mei, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ," katanya.

Beliau berkata bagi kategori persendirian individu, urus niaga boleh diselesaikan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ negeri dan cawangan

"Bagi kategori persendirian syarikat pula, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula dari tarikh penyerahan dokumen lengkap," katanya.

Sementara itu, bagi saluran penyedia perkhidmatan eAuto, Aedy Fadly memaklumkan hanya urus niaga Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) sahaja yang masih beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, sistem tukar hak milik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan, dan mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang ingin melaksanakannya perlu mengemukakan permohonan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan. 

"JPJ kekal komited dalam memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ sentiasa diperkukuhkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa demi melindungi kepentingan pemilik kenderaan serta memastikan integriti sistem penyampaian perkhidmatan jabatan terus terpelihara," katanya. 

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing dengan JPJ.  

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement