TANJONG MALIM: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh kedudukan di pentas antarabangsa menerusi penyertaan Fellowship Program Bangkok sempena Thailand International Book Fair pada 27 hingga 28 Mac lalu.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Suriani Abu Bakar, menyifatkan pengiktirafan daripada Oxford University Press (OUP) sebagai pencapaian membanggakan yang mencerminkan keyakinan industri global terhadap kualiti penerbitan UPSI.
Menurut beliau, penyertaan itu menjadi platform penting untuk mempromosikan karya akademik tempatan ke pasaran dunia serta memperkukuh jenama UPSI sebagai penerbit universiti berdaya saing.
Sementara itu, Pengarah Penerbit UPSI, Prof Madya Dr Nordiana Hamzah, berkata program tersebut menghimpunkan pemain industri buku antarabangsa bagi memperluas jaringan dan kerjasama strategik.
Hasilnya, UPSI mencapai persetujuan awal bagi penjualan lesen 200 judul e-buku bahasa Melayu kepada OUP, selain menarik minat penerbit dari India, Aram Publication, untuk mendapatkan hak penerbitan beberapa judul terpilih.
Sepanjang program, UPSI turut mengadakan rundingan dengan penerbit dari pelbagai negara termasuk Thailand, China, United Kingdom, India, Turki dan Korea Selatan bagi membuka peluang kolaborasi serta pertukaran hak cipta.
Ketua Editor Penerbit UPSI, Azlan Mohd Dahari, menyifatkan penyertaan ini sebagai satu pengiktirafan besar yang membuktikan kualiti serta kebolehpasaran karya akademik UPSI di peringkat global.