Skip to main content

Malaysia

Ulat foto di KLCC dipantau rapi, Hannah Yeoh tegaskan tindakan bersepadu

FB Hannah Yeoh
Hannah Yeoh ketika mengadakan lawatan di kawasan sekitar KLCC. - Foto Facebook/Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, memaklumkan beliau telah menjalankan tinjauan terperinci bersama pengurusan KLCC Precinct Security Management Centre berhubung aktiviti ‘ulat foto’ yang dilaporkan berlaku di sekitar kawasan tersebut.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan bahawa lawatan itu turut disertakan dengan taklimat menyeluruh berkaitan sistem keselamatan terkini yang diguna pakai di sekitar kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

“Saya telah menerima taklimat terperinci daripada pihak pengurusan mengenai sistem keselamatan sedia ada, termasuk penambahbaikan yang telah dilaksanakan bagi menangani isu ini secara lebih berkesan,” katanya dalam satu hantaran, pada Khamis

Selain itu, Hannah turut menyatakan bahawa beliau berpeluang melihat sendiri operasi kamera litar tertutup (CCTV), termasuk penggunaan sistem pembesar suara yang telah dipasang di lokasi strategik seperti persimpangan Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee.

Menurutnya, pemasangan CCTV baharu itu bertujuan mempertingkat pemantauan secara lebih proaktif di samping memastikan tindakan dapat diambil dengan lebih pantas sekiranya berlaku sebarang insiden.

“Langkah ini penting bagi meningkatkan tahap ketangkasan respon pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin,” jelas beliau lagi

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral itu, khususnya di kawasan tumpuan pelancong.

Tambahnya, pendekatan bersepadu melibatkan pelbagai agensi ini amat penting bagi memastikan pengalaman pengunjung kekal positif.

 

 

Must Watch Video