IPOH: Jika dahulu tempahan baju raya baharu menjadi tumpuan tukang jahit menjelang Aidilfitri, kini landskap itu berubah apabila perkhidmatan ubah suai pakaian atau alteration semakin mendapat permintaan tinggi.
Bagi tukang jahit Helmaliza Md Isa, 44, perubahan trend itu membuka ruang baharu apabila semakin ramai pelanggan menghantar pakaian yang dibeli secara dalam talian untuk dibaiki atau disesuaikan mengikut ukuran badan.
"Sekarang inikan trend banyak orang beli dalam talian, jadi untuk ubah suai makin tinggi. Yang hantar ubah suai semakin meningkat, banyak, cepat penuh. Yang tempahan ini macam lambat.
“Kita ini sebagai usahawan kena ikut trend, contohnya, dulu saya lebih kepada ambil tempahan sebab ramai orang tempah, tetapi sekarang tempahan kurang sikit, namun yang hantar untuk ubah suai meningkat. Jadi kami kena ambil dua-dua, kena ikut trend kan," katanya.
Menurut Helmaliza, dia sendiri menerima kira-kira 20 helai pakaian sehari untuk diubah suai terutama melibatkan labuh tangan, bahu dan saiz pinggang, selain turut menerima sekitar 130 pasang tempahan baju raya seperti baju kurung, kebaya dan baju Melayu, bagi pelanggan yang masih memilih untuk menghantar kain ke kedai jahit berbanding membeli pakaian siap yang menggunakan saiz standard.
Anak jati Malim Nawar itu berkata, dia mula menerima tempahan baju raya seawal Ogos tahun lepas dan terpaksa menutup tempahan pada awal Januari bagi memastikan semua pakaian dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dengan bantuan tiga pekerjanya.
Helmaliza berkata, sebagai usahawan, tukang jahit perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan trend.
“Kita kena ikut arus semasa. Dulu lebih kepada tempahan baharu, sekarang ubah suai pula meningkat. Jadi kita ambil kedua-duanya supaya perniagaan terus bertahan,” katanya.
Bagi perkhidmatan ubah suai, caj dikenakan serendah RM2 hingga RM40 bergantung kepada jenis kerja, manakala upah jahitan baju kurung bermula RM65, kebaya RM85 dan baju Melayu RM120 mengikut fabrik serta rekaan.
Sementara itu, tukang jahit Siti Aishah Norazhar, 31, berkata, dia memilih untuk mengehadkan tempahan baju raya bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkhidmatan ubah suai pakaian yang kini menjadi trend pelanggan.
Menurut Siti Aishah, dia hanya menerima kira-kira 20 hingga 30 pasang tempahan baju raya tahun ini daripada pelanggan tetapnya bagi memastikan kualiti kerja terjaga selain memenuhi permintaan mereka.
"Tempahan baju raya ambil, tetapi dalam kuantiti yang tak berapa banyak sebab kita lebih mengambil ubah suai pakaian berbanding dengan tempahan pakaian," katanya ditemui di Kedai Jahit Aishah di Taman Bertuah di sini.
Anak jati Taiping yang menetap di Ipoh itu menjelaskan, peralihan fokus tersebut berikutan peningkatan ketara pelanggan yang menghantar pakaian untuk diubah suai berbanding menempah baju baharu.
Siti Aishah berkata, faktor utama peralihan itu adalah kerana ramai pelanggan kini lebih gemar membeli baju secara dalam talian atau pakaian siap, namun berdepan masalah saiz yang tidak padan dengan ukuran badan.
"Sekarang pelanggan boleh membeli (baju raya) secara dalam talian, tetapi macam tak selesa dengan pakaian tersebut, antaranya terlalu labuh. Jadi, kebanyakan pelanggan akan datang untuk ubah suai potong bahagian lengan, potong kaki (seluar atau kain) dan kecil saiz baju, " katanya yang mempunyai pengalaman menjahit lebih 10 tahun.
Siti Aishah yang mengusahakan perniagaan itu bersama ibunya, Hasnah Din, 59, berkata, perkhidmatan ubah suai pakaian di kedainya bukan sekadar mengecilkan saiz, malah turut menawarkan khidmat membesarkan pakaian yang sempit dengan syarat pelanggan menyediakan kain tambahan.
Mengenai kadar upah, dia berkata, perkhidmatan ubah suai dikenakan caj antara RM7 hingga RM30, manakala bagi tempahan baju wanita seperti baju kurung dan kebaya, upah yang dikenakan bermula RM60 hingga RM80 sepasang.
"Kalau tanya saya, ubah suai pakaian (lebih lumayan) sebab hari-hari orang hantar untuk potong kaki seluar dan hari-hari juga kita akan ada pendapatan dari situ. Kalau untuk tempahan, kita ambil masa sikit dua tiga hari nak siapkan satu baju," katanya.
-- BERNAMA