Skip to main content

Malaysia

Tun Dr Ling Liong Sik diberikan penghormatan terakhir hari ini

KUALA LUMPUR, 6 April -- Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong bersama kepimpinan tertinggi MCA ketika hadir Upacara Penghormatan Terakhir bagi bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik di Pusat Xiao En hari ini.  Dr Ling meninggal dunia pada Sabtu lepas pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua cahaya mata lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong bersama kepimpinan tertinggi MCA ketika hadir Upacara Penghormatan Terakhir bagi bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik di Pusat Xiao En hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pengangkutan yang juga Presiden Kehormat Seluruh Hidup MCA Tun Dr Ling Liong Sik yang meninggal dunia pada Sabtu lepas diberikan penghormatan terakhir di Pusat Xiao En, di sini hari ini.

Upacara yang bermula kira-kira 12 tengah hari itu berlangsung dalam suasana penuh emosi dan tertib dengan orang ramai memberikan penghormatan seperti meletakkan bunga dan berdoa untuk mendiang.

Turut kelihatan beberapa pemimpin utama MCA termasuk Presiden Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden Datuk Dr Mah Hang Soon, Setiausaha Agung Datuk Chong Sin Woon serta naib-naib presiden, iaitu Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Lawrence Low Ah Keong, dan Datuk Tan Teik Cheng.

Sepanjang tempoh itu, pelawat turut dipertontonkan dengan tayangan montaj yang memaparkan perjalanan hidup serta sumbangan mendiang kepada negara.

Dr Ling meninggal dunia pada Sabtu lepas pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua cahaya mata lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 sehingga peletakan jawatan beliau pada 2003.

Sementara itu, Wee ketika ditemui pemberita selepas upacara itu berkata satu upacara khas penutupan keranda Dr Ling akan diadakan pada 4 petang esok, yang akan menyaksikan keranda mendiang ditutup menggunakan bendera MCA sebagai simbol penghormatan tertinggi atas jasa dan sumbangannya kepada parti dan negara.

Pada masa sama, beliau menyifatkan mendiang sebagai seorang negarawan berwawasan yang banyak berjasa kepada pembangunan negara, khususnya dalam sektor pengangkutan dan pendidikan.

Beliau berkata Dr Ling yang menerajui MCA selama 17 tahun memegang jawatan Menteri Pengangkutan paling lama, sekali gus memainkan peranan penting dalam merancang pembangunan infrastruktur negara secara menyeluruh.

“Beliau (Dr Ling) diakui sebagai pemimpin yang berwawasan dan banyak merancang pembangunan besar termasuk dalam sektor pelabuhan, penerbangan dan rel.

“Beliau merupakan penggerak utama untuk membina pelabuhan yang mana Westport ialah satu daripada pelabuhan yang telah diusahakan beliau sehingga pelabuhan ini dianggap antara yang paling sibuk di dunia.

“Dalam bidang pengangkutan r beliau ialah orang yang menerajui dan juga membangunkan pelebaran atau double tracking untuk sistem kereta api kita,” katanya.

Wee berkata sumbangan Dr Ling dalam bidang pendidikan juga amat besar menerusi penubuhan dan pembangunan institusi seperti Tunku Abdul Rahman University College yang kini dikenali Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) serta Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Beliau berkata falsafah mendiang yang menekankan kepentingan pendidikan berjaya melahirkan puluhan ribu graduan, selain membuka peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang termasuk luar bandar.

Jasad Dr Ling akan dibawa ke Xiao En Crematorium di Nilai, Negeri Sembilan untuk disemadikan menerusi upacara pembakaran.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video