Skip to main content

Malaysia

Tokoh kewangan Islam Daud Bakar, rakan kongsi didakwa pecah amanah RM10.55 juta

Sumber: Astro AWANI
Mohd Daud membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Tokoh kewangan Islam, Tan Sri Mohd Daud Bakar dan rakan kongsi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang berjumlah RM10.55 juta milik beberapa individu dan sebuah koperasi, sejak tiga tahun lepas.

Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), serta Datuk Norliza Tajudin, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, kedua-dua tertuduh sebagai ejen iaitu pengarah dan pemegang saham syarikat Energy Eco Sdn Bhd (kini Energy Eco Berhad), telah diamanahkan dengan wang berjumlah RM10.55 juta yang merupakan pelaburan daripada Moideen Kunjayu, Datuk Dr Mashitah binti Ibrahim, Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad dan Myad Kapital Sdn Bhd.

Ia membabitkan wang iaitu RM400,000 dan RM200,000 milik Moideen Kunjayu; RM500,000, RM900,000 dan RM550,000 (Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad); RM2 juta (Datuk Dr Mashitah Ibrahim) serta RM6 juta (Myad Kapital Sdn Bhd).  

Mereka secara tidak jujur telah menggunakan harta tersebut dengan melanggar kontrak nyata yang telah dibuat mengenai penyempurnaan amanah itu, iaitu Shareholder’s Advance Agreement bertarikh 22 Jun 2021, 19 Januari, 1 April, 27 April dan 6 Disember 2022 serta 5 April 2023 dan 12 Mei 2024.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Taman Setiawangsa dan RHB Islamic Bank Berhad Cawangan Bangsar Shopping Centre antara 22 Jun 2021 dan 15 Mei 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Suzana membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM100,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan supaya pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai selain dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 19 Jun 2026 untuk sebutan semula kes penyerahan dokumen.

Must Watch Video