Skip to main content

Malaysia

TKP Jabatan Alam Sekitar didakwa sekali lagi terima RM9,110 baiki rumah

TKP JAS_AWANI
Norhazni didakwa menerima wang tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai urusan rasmi dengannya. - Foto Astro AWANI.

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pengarah (TKP) Jabatan Alam Sekitar (JAS) dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima bayaran RM9,110 bagi kerja membaik pulih rumahnya, empat tahun lalu.

Tertuduh, Dr Norhazni Mat Sari, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Norhazni yang ketika itu menjawat jawatan TKP (Pembangunan) JAS didakwa menerima wang tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat berusia 42 tahun yang mempunyai urusan rasmi dengannya.

Perbuatan itu didakwa berlaku pada 25 Mei 2022 di sebuah cawangan bank di Klang apabila bayaran berkenaan dipindahkan ke akaun syarikat kontraktor bagi kerja baik pulih rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan agar jaminan sedia ada di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai.

Beliau turut memohon supaya kes berkenaan dipindahkan untuk dibicarakan bersama di mahkamah tersebut.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili tertuduh tidak membantah cadangan itu, dan mahkamah menetapkan sebutan semula pada 19 Mei depan.

Sebelum ini, media melaporkan Norhazni turut mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan menerima RM21,000 tanpa balasan menerusi enam transaksi berasingan melalui akaun bank anaknya daripada seorang pengarah syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Bukit Bintang antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding berasingan, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi, membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000.


 

Must Watch Video