Skip to main content

Malaysia

Tiga penjenayah edar dadah maut berbalas tembakan dengan polis

71575625329_TBTEMBAKPENJENAYAH.jpg
Tiga penjenayah dipercayai pengedar dadah maut dalam insiden berbalas tembakan di ladang Kaswel, Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan pagi semalam.

Dalam kejadian antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi Khamis itu, ketiga-tiga suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50-an tersebut, ditembak mati oleh pasukan polis yang menjalankan Op Laras Bersepadu Khas di lokasi berkenaan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan memiliki senjata api secara haram.

Beliau berkata, kejadian berbalas tembakan itu berlaku dalam dua insiden berbeza melibatkan serbuan ke atas empat buah rumah yang berhampiran di ladang tersebut.

Tambahnya, dalam dua insiden berasingan itu, suspek dikatakan melepaskan tembakan terlebih dahulu kepada polis sebelum pasukan terlibat terpaksa membalas untuk mempertahankan diri.

"Hasil dari siasatan lanjut pihak cawangan khas Sabah atas maklumat ini didapati bukan sahaja berkaitan dadah tetapi juga memiliki senjata  api secara  haram iaitu jenis pistol, bakakuk dan senapang angin.

"Dipercayai kumpulan ini  juga membuat senjata api jenis bakakuk," katanya.

Zaini berkata demikian dalam sidang media di Ibu  Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, pada Jumaat.

Selain daripada kejayaan polis menembak mati tiga penjenayah tersebut, beliau berkata, pihaknya turut berjaya merampas 800 gram dadah jenis syabu beranggar RM100,000, 11 laras senjata api pelbagai jenis, wang tunai, senjata tajam dan beberapa butir peluru.

Tambah beliau, dua buah keluarga terdiri daripada enam individu warga asing yang berusia lingkungan 2 hingga 34 tahun turut  ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Kedua-dua kes  ini disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (PLB) 1971 dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, kumpulan tersebut dipercayai melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar kawasan ladang Kaswel, Kampung Sinar Jaya, Kinabatangan.

Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan menyeluruh mengenai insiden itu.

Must Watch Video