Skip to main content

Malaysia

Tiga individu disiasat sebar berita palsu kenaikan tarif elektrik

Tiga individu disiasat sebar berita palsu kenaikan tarif elektrik Sumber: MCMC
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai peningkatan tarif elektrik di platform digital termasuk Facebook, Threads, dan WhatsApp.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu mengenai peningkatan tarif elektrik di platform digital termasuk Facebook, Threads, dan WhatsApp.

MCMC maklumkan, maklumat palsu itu dipercayai turut menyalahgunakan elemen grafik sebuah agensi berita, manakala hasil semakan mendapati kandungan tersebut disunting daripada laporan rasmi Astro AWANI.

"Kandungan yang disebarkan itu bersifat tidak benar dan berpotensi menimbulkan persepsi negatif sehingga boleh mengakibatkan kegelisahan dan panik dalam kalangan masyarakat.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital bagi tujuan mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melanggar undang-undang.

"Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab ketika menggunakan platform digital serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam," tegas MCMC lagi.

Must Watch Video