TEHRAN: Laluan ke arah perjanjian antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bergantung kepada kesediaan Washington mengubah apa yang disifatkan Tehran sebagai tuntutan “tidak munasabah”, menurut laporan agensi berita Iran, Fars.
Agensi itu melaporkan bahawa Selat Hormuz kekal sebagai antara beberapa isu utama yang masih dipertikaikan dalam rundingan damai antara kedua-dua negara.
Menurut Fars, pakar daripada kedua-dua pihak kini sedang berusaha mencari titik persamaan, manakala Pakistan selaku pengantara terus memainkan peranan untuk merapatkan perbezaan pendirian dan menyelaraskan pandangan antara delegasi yang terlibat.
Laporan itu turut menyatakan kedua-dua pasukan perunding telah berundur sementara untuk mendapatkan pandangan pasukan pakar masing-masing berhubung draf teks yang dicadangkan.
Rundingan dijangka disambung semula selepas proses tersebut selesai.
Perkembangan itu menunjukkan usaha diplomatik masih diteruskan, meskipun rundingan setakat ini belum menghasilkan persetujuan muktamad dan perbezaan pendapat utama masih belum diselesaikan.