JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga individu di sekitar bandar raya ini semalam, bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang maut ditembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai pada 9 Mei lepas.
Pemangku Ketua Polis Johor DCP Hoo Chuan Huat berkata individu itu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 26 hingga 29 tahun, bagaimanapun tiada rampasan senjata dilakukan dalam penahanan itu.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan. Setakat ini, hanya seorang daripada lelaki yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan kes berkenaan.
Hoo berkata pihak polis masih menyiasat motif pembunuhan mangsa berusia 27 tahun yang bekerja di sebuah gudang di Singapura itu serta kebarangkalian kejadian turut melibatkan kumpulan kongsi gelap.
Beliau pada masa sama menjelaskan seorang lelaki berusia 27 tahun yang cedera terkena tembakan dalam kejadian berkenaan adalah rakan kepada mangsa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun berhubung kejadian tembakan itu.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 27 tahun cedera akibat terkena tembakan itu.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA