Skip to main content

Malaysia

Tiga daerah di Kedah alami gelombang haba Tahap 2 - MetMalaysia

PADANG TERAP, 22 Mac -- Keadaan tanah sawah yang kering dan merekah akibat cuaca panas di sini, hari ini.  Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa daerah Padang Terap merekodkan Tahap 2 (Gelombang Haba) setakat jam 4 petang.  Manakala, 10 kawasan lain di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga).  Kawasan terlibat ialah seluruh Perlis; Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Pulau Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah; serta daerah Timur L
Daerah yang terlibat bagi Tahap 2 di Kedah ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Tiga daerah di Kedah kini merekodkan gelombang haba Tahap 2, manakala 16 lagi kawasan di seluruh Semenanjung Malaysia berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga setakat pagi ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kemas kini status cuaca panas setakat 6 pagi tadi memaklumkan, daerah yang terlibat bagi Tahap 2 di Kedah ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Sementara itu, 16 kawasan yang diletakkan di bawah Tahap 1 ialah Sik, Padang Terap, Kubang Pasu, Langkawi, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; seluruh Perlis serta kawasan Timur Laut dan Utara di Pulau Pinang.

Turut merekodkan status sama ialah Hulu Perak, Selama, Kinta dan Kuala Kangsar di Perak, selain daerah Jerantut serta Raub di Pahang.

Status Tahap 2 atau gelombang haba diisytiharkan apabila suhu maksimum berada dalam lingkungan 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, status Tahap 1 pula merujuk kepada suhu maksimum harian mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video