KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan beras di Sabah stabil dan mencukupi, sekali gus menafikan dakwaan kononnya terdapat pihak menyorok atau menyembunyikan stok hingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata dakwaan berkenaan tidak berasas, justeru seluruh rakyat Sabah digesa supaya kekal tenang dan tidak melakukan pembelian secara berlebihan.
"Saya memandang serius isu tular berkaitan dakwaan kekurangan stok beras di pasaran sekitar Sabah sejak awal April. Susulan insiden pembelian panik tempoh hari, saya ingin menegaskan bahawa keadaan kini kembali stabil.
"Bekalan beras di pasaran adalah mencukupi, terkawal dan rantaian pengedaran kembali beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Foong Hin berkata beliau turut meninjau ke sebuah syarikat pemborong beras dan pasar raya di Kolombong, di sini semalam bagi mendapat gambaran sebenar keadaan bekalan beras di peringkat gudang dan premis runcit sekitar Kota Kinabalu, selain diberi taklimat oleh pihak Kawal Selia Padi dan Beras Sabah berhubung situasi berkaitan.
"Melalui lawatan ini, saya berpeluang meneliti kedudukan stok semasa, memahami pengurusan rantaian bekalan serta memastikan bekalan beras sentiasa berada pada tahap stabil dan mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat," katanya.
Sementara itu, Foong Hin berkata kerajaan Persekutuan terus menyalurkan subsidi RM350 bagi setiap tan metrik beras putih import (BPI) ke Sabah bertujuan memastikan harga runcit BPI purata tidak melebihi RM31 bagi setiap 10 kilogram seterusnya menafikan dakwaan berlaku kenaikan harga beras di pasaran.
Beliau berkata beberapa langkah intervensi turut dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara, antaranya penyaluran berterusan subsidi BPI bagi menstabilkan harga runcit, selain pemantauan rapi ke atas keseluruhan rantaian pengedaran.
Foong Hin berkata langkah intervensi itu turut merangkumi arahan kepada pemborong untuk mempercepat pengeluaran stok dari stor Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) bagi memastikan bekalan segera sampai ke pasaran.
"Saya akan terus memantau perkembangan ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara dan keterjaminan makanan negara terus menjadi keutamaan.
"Orang ramai diseru agar mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi kerajaan serta tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin tidak disahkan," katanya, sambil menambah pembelian secara berhemah amat penting dalam memastikan kestabilan bekalan dapat dikekalkan demi kepentingan bersama.
-- BERNAMA