Skip to main content

Malaysia

Tiada sambungan kontrak pegawai farmasi capai had maksimum - KKM

51746008068_Farmasi.jpg
Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bahawa tiada urusan penyambungan kontrak bagi pegawai farmasi yang dilaporkan bakal menamatkan perkhidmatan kerana telah mencapai had maksimum tempoh kontrak selama lima tahun seperti ditetapkan. - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan bahawa tiada urusan penyambungan kontrak bagi pegawai farmasi yang dilaporkan bakal menamatkan perkhidmatan kerana telah mencapai had maksimum tempoh kontrak selama lima tahun seperti ditetapkan.

KKM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan dalam laporan media pada 2 April lepas bertajuk 45 Contract Pharmacists in Limbo as Jobs End Saturday.

Menurut KKM, pegawai terbabit boleh memohon semula apabila pengambilan lantikan tetap dibuka pada penghujung 2027 dengan gred kemasukan baharu, iaitu UF10 yang sebelum ini dikenali sebagai UF43 selaras dengan pengenalan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang telah berkuat kuasa mulai 1 Dis 2024.

"Penjajaran strategik ini merupakan langkah penting bagi memperkukuh sistem sumber manusia kesihatan negara agar lebih saksama, telus dan berdaya saing dalam jangka panjang," menurut kenyataan itu.

KKM turut menjelaskan bahawa sebarang tawaran pelantikan tetap adalah bersyarat.

"Surat pelantikan dan penempatan hanya akan dikeluarkan setelah calon memenuhi semua kriteria yang ditetapkan termasuk pengesahan kesihatan, Akuan Berkanun serta kekosongan jawatan yang dimuktamadkan," katanya.

Selain itu, KKM memaklumkan terdapat juga kes pegawai terlibat adalah calon simpanan yang perlu menunggu giliran pelantikan mengikut kekosongan jawatan semasa.

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video