SERI KEMBANGAN: Subsidi petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) dikekalkan buat masa ini termasuk untuk golongan berpendapatan tinggi T20.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tiada sebarang perubahan dibuat dan golongan T20 masih layak menerima subsidi petrol RON95.
Menurutnya, kerajaan sentiasa berbincang bagi mencari mekanisme terbaik pelaksanaan subsidi berkenaan, dengan anggota Kabinet bersetuju bahawa sistem yang dilaksanakan perlu bersifat ringkas dan mudah.
"Tiada (pemotongan), (kekal) status quo sekarang. Tiada perubahan kerana sekarang, seperti yang saya nyatakan dua hari lalu, pertama, kerajaan sudah tentu sentiasa berbincang tentang rasionalisasi subsidi. Tetapi yang paling penting ialah apakah mekanisme terbaik.
"Prinsip dasar BUDI95 kerajaan adalah semudah mungkin, selangsung dan semudah mungkin, supaya kita dapat memudahkan keseluruhan proses. Saya fikir Kabinet telah lama membincangkan perkara ini, dan kebanyakan ahli Kabinet bersetuju bahawa ia mestilah sistem yang mudah.
"Jadi BUDI95 adalah sistem yang sangat mudah di mana ia membolehkan semua warganegara Malaysia, hanya dengan MyKad mereka, menikmati subsidi dengan persekitaran terkawal, dengan kuantiti terkawal, supaya juga mengelakkan kebocoran. Jadi kami mengekalkan sistem itu, tidak ada persoalan untuk memotong subsidi untuk T20 buat masa ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE), pada Khamis.
Minggu lalu, media melaporkan kerajaan kini sedang mempertimbangkan kemungkinan menarik balik subsidi petrol RON95 menerusi sistem BUDI95 untuk golongan T20 atau T15.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan bahawa cadangan tersebut sudah diteliti di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sejak bulan lalu.