Skip to main content

Malaysia

Naik taraf Lebuhraya Pasir Gudang siap 83 peratus, buka sepenuhnya Ogos

Onn Hafiz Ghazi, Mengamuk
Onn Hafiz berkata, sehingga kini sebanyak 6.4 kilometer laluan utama (FT17) telah dibuka dan digunakan orang ramai. - Gambar/ FB Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) daripada empat kepada enam lorong kini mencatat kemajuan fizikal sebanyak 83 peratus, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya yang selama ini berdepan kesesakan teruk di laluan berkenaan.

Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi berkata, sehingga kini sebanyak 6.4 kilometer laluan utama telah dibuka dan digunakan orang ramai.

Menurut beliau, pembukaan sebahagian laluan itu sedikit sebanyak membantu melancarkan aliran trafik terutama pada waktu puncak dan musim cuti.

Katanya, projek sepanjang 10 kilometer bermula dari Persimpangan Bandar Seri Alam dan Taman Rinting sehingga Pasir Gudang itu merupakan antara inisiatif penting kerajaan negeri bagi menangani isu kesesakan yang telah lama dibangkitkan rakyat.

“Saya telah turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan projek ini yang menjadi antara usaha utama kerajaan negeri dalam mengurangkan kesesakan trafik di kawasan Pasir Gudang.

“Alhamdulillah, kemajuan projek ketika ini amat memberangsangkan dan sebahagian laluan telahpun dibuka untuk kemudahan pengguna,” katanya dalam perkongsian di laman Facebooknya pada Khamis.

Onn Hafiz berkata, baki 3.6 kilometer laluan utama dijangka dapat dibuka sepenuhnya kepada pengguna menjelang Ogos tahun ini.

"Kerja-kerja akhir termasuk kemasan jalan serta penyelarasan infrastruktur berkaitan akan diteruskan sehingga November 2026 sebelum projek disiapkan sepenuhnya.

"Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap aspek infrastruktur dan jaringan jalan raya memandangkan Pasir Gudang merupakan antara kawasan perindustrian utama di Johor yang merekodkan jumlah trafik harian tinggi," katanya.

Beliau berkata, sistem jalan raya yang lebih baik bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan malah meningkatkan keselamatan pengguna serta menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.

Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau projek penambahbaikan Smart Traffic Light di Persimpangan Taman Kota Puteri dan Taman Teluk Tropikana di Lebuhraya Permas–Pasir Gudang.

Beliau berkata, penggunaan sistem lampu isyarat pintar itu dilaksanakan bagi mengoptimumkan kawalan trafik dan memastikan pergerakan kenderaan lebih lancar terutama ketika waktu sibuk.

“Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperkukuh jaringan jalan raya dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan demi keselesaan rakyat Johor.

“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta mampu menyelesaikan isu kesesakan yang sekian lama berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited meneruskan pelbagai usaha penambahbaikan infrastruktur secara berperingkat bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Johor terus terpelihara.

Must Watch Video