Skip to main content

Malaysia

TH Perkenal Muhsen, perkhidmatan sokongan bantu kelancaran jemaah haji

Astro AWANI
Mohd Hisham (tiga, kiri) pada Majlis Ta’aruf Operasi Haji 2026 di sini, hari ini.

MEKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) melakar sejarah baharu dalam pengurusan jemaah haji apabila memperkenalkan perkhidmatan Muhsen, yang merupakan inisiatif baharu untuk musim haji kali ini, bagi memperkasa kebajikan, perkhidmatan dan kelancaran perjalanan ibadah jemaah haji Malaysia di Tanah Suci.

Perkhidmatan inovatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik TH bersama syarikat penginapan Holiday In Bakah, dan berperanan sebagai pusat sokongan jemaah merangkumi maklumat, bantuan segera serta saluran perhubungan yang lebih sistematik sepanjang musim haji tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Mohd Hisham Harun berkata, Muhsen diwujudkan sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada, sekali gus melengkapkan peranan petugas haji bagi memastikan jemaah menerima bantuan dengan lebih cepat, tepat dan tersusun.

“Melalui aplikasi Muhsen, jemaah boleh mendapatkan pelbagai maklumat penting termasuk nombor untuk dihubungi sekiranya memerlukan bantuan segera.

"(Selain itu) setiap seorang Muhsen ditugaskan untuk menjaga kira-kira 25 orang jemaah, membolehkan bantuan diberikan secara lebih bersasar dan berkesan,” katanya selepas Majlis Ta’aruf Operasi Haji 2026 di sini.

Setiap seorang Muhsen ditugaskan untuk menjaga kira-kira 25 orang jemaah, membolehkan bantuan diberikan secara lebih bersasar dan berkesan.

Beliau menjelaskan, Muhsen merupakan perkhidmatan baharu yang diperkenalkan musim ini dengan matlamat meningkatkan pengalaman keseluruhan jemaah ketika menunaikan ibadah haji, khususnya dari aspek kebajikan dan kelancaran pergerakan.

Menurutnya, petugas Muhsen akan ditempatkan di kawasan penginapan jemaah serta di lokasi pergerakan utama, termasuk sepanjang operasi masyair membabitkan perjalanan dari Makkah ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Muhsen turut membantu jemaah dalam pelbagai urusan harian seperti memberi panduan, membantu komunikasi dan memudahkan pergerakan jemaah.

“Kebanyakan Muhsen terdiri daripada pelajar Malaysia di Arab Saudi, sekali gus berfungsi sebagai penghubung antara jemaah dengan pihak tempatan, khususnya dalam aspek komunikasi,” katanya.

Beliau menegaskan keupayaan petugas Muhsen yang menguasai bahasa Melayu dan Arab amat penting bagi memastikan urusan jemaah dengan pihak berkuasa serta penyedia perkhidmatan di Arab Saudi dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Dalam pada itu, Mohd Hisham berkata, keberkesanan perkhidmatan dan aplikasi Muhsen akan dinilai secara menyeluruh selepas tamat musim haji menerusi maklum balas jemaah.

“Kita akan meneliti penilaian melalui borang maklum balas dan tahap kepuasan jemaah agar perkhidmatan ini dapat diperkemas serta ditambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Must Watch Video