PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, pada Selasa menzahirkan rasa kekesalan susulan kekeliruan yang timbul ekoran laporan mengenai dakwaan kerajaan berkemungkinan mengehadkan subsidi petrol BUDI95 kepada 150 liter.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kenyataan beliau yang dibuat dalam satu majlis anjuran AFFIN Bank awal pagi ini telah dilaporkan secara tidak tepat dan diambil di luar konteks sebenar perbincangan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak membuat sebarang pengumuman baharu bagi pihak kerajaan, dan saya juga tidak pernah mengumumkan had 150 liter berpotensi menjadi dasar kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, petikan kenyataan Chin Tong yang tersebar di media dan media sosial mencetuskan kekeliruan serta kebimbangan orang ramai bahawa kerajaan berhasrat mengehadkan subsidi petrol BUDI95 dalam masa terdekat.
Isu itu timbul ketika kerajaan sedang meneliti langkah rasionalisasi subsidi bahan api bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan bantuan disasarkan kepada golongan yang memerlukan.
Setakat ini, kerajaan menegaskan bahawa belum ada sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat berkaitan had liter subsidi petrol di bawah skim BUDI95.
Jelas beliau, perbincangan tersebut sebenarnya berkisar mengenai strategi kerajaan menangani krisis tenaga, khususnya keperluan memastikan bekalan petrol negara mencukupi untuk tempoh jangka panjang.
Chin Tong berkata, beliau hanya menggariskan beberapa perkara utama, antaranya bahawa BUDI95 merupakan satu mekanisme yang baik kerana ia menyediakan data menyeluruh untuk memahami corak perjalanan harian rakyat Malaysia.
“Kepentingan utama kerajaan dan seluruh masyarakat adalah untuk memastikan kita mempunyai bekalan petrol yang mencukupi untuk tempoh yang paling lama,” katanya.
Tambah beliau, usaha menjamin kelangsungan bekalan tenaga memerlukan kesedaran dan konsensus masyarakat bagi menyokong langkah penjimatan penggunaan petrol.
Sehubungan itu, Chin Tong menyatakan kekesalan kerana kenyataannya telah mencetuskan salah faham sehingga menimbulkan kebimbangan awam.
"Saya kesal kerana kenyataan saya telah mencetuskan salah faham, dan saya berharap semua pihak dapat memahami konteks penuh apa yang sebenarnya saya katakan," katanya.