KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines terus memperkukuh kebolehpercayaan operasinya seiring peningkatkan fleksibiliti untuk penumpang dengan merekodkan prestasi ketepatan masa (OTP) melebihi 90 peratus pada April 2026.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, syarikat penerbangan negara itu memaklumkan, pencapaian berkenaan merupakan bulan kedua berturut-turut ia mengekalkan purata OTP melebihi 90 peratus, sekali gus secara konsisten mengatasi sasaran 85 peratus sejak Januari tahun ini.
Menurut kenyataan itu, prestasi berterusan itu didorong penambahbaikan operasi di seluruh rangkaian, termasuk penambahbaikan proses menaiki pesawat serta sokongan darat, sekali gus menghasilkan pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai kepada pelanggan.
Malaysia Airlines turut mencatat permintaan penumpang yang memberangsangkan, dengan trafik meningkat 30 peratus tahun ke tahun (YoY) pada Mac, diikuti pertumbuhan 8 peratus YoY pada April.
Syarikat penerbangan itu berkata, pertumbuhan berterusan ini mencerminkan permintaan asas yang stabil merentasi pasaran utama walaupun persekitaran perjalanan udara global terus berubah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong, pengembara kini berdepan persekitaran yang lebih tidak menentu, menjadikan kebolehpercayaan dan fleksibiliti sebagai faktor penting dalam merancang perjalanan.
“Fokus kami kekal untuk menyampaikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai, di samping menyediakan fleksibiliti dan sokongan yang diperlukan pelanggan ketika corak perjalanan terus berkembang,” katanya, sambil menambah prestasi operasi yang konsisten serta permintaan berterusan mencerminkan kemajuan stabil syarikat penerbangan itu.
Seiring itu, Malaysia Airlines memperkenalkan kempen “Now Boarding” di pasaran utama bagi menawarkan nilai dan keyakinan lebih baik kepada pelanggan.
Teras kempen ini ialah keluarga tambang Flex yang membolehkan perubahan penerbangan tanpa had tanpa caj tambahan, sekali gus memberikan ketenangan fikiran kepada penumpang sekiranya pelan perjalanan berubah.
Selain itu, syarikat berkenaan turut memperkukuh tawaran mesra keluarga, termasuk tambang kanak-kanak serta pek aktiviti dalam pesawat untuk penumpang muda bagi meningkatkan pengalaman perjalanan keluarga.
Pelanggan yang membuat tempahan terus melalui laman web atau aplikasi mudah alih rasmi juga boleh menikmati manfaat eksklusif, termasuk diskaun lima peratus untuk ahli Enrich, penjimatan sehingga 15 peratus menerusi keistimewaan Maybank serta pulangan tunai sehingga RM150 melalui UnionPay.
Sementara itu, nilai jenama Malaysia Airlines meningkat 27 peratus kepada AS$771 juta, menjadikannya syarikat penerbangan Malaysia dengan pertumbuhan nilai jenama tertinggi menurut laporan Brand Finance Airlines 50 2026.
Syarikat penerbangan itu turut naik empat anak tangga ke kedudukan ke-41 dunia, disokong pemulihan berterusan serta fokus terhadap pengalaman pelanggan.
Malaysia Airlines berkata, pihaknya akan terus membina momentum ini bagi memperkukuh pengalaman perjalanan pelanggan di seluruh rangkaiannya.