SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua pihak agar bersabar dan tidak mudah percaya dengan spekulasi tanpa asas mengenai penetapan tarikh sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, baginda tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli seumpamanya, yang seolah-olah boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam.
“Sultan Selangor mengambil maklum bahawa sejak kebelakangan ini terdapat pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial berhubung penetapan tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Baginda menegaskan bahawa pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, 19 Mac 2026, setelah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu, seperti mana amalan dan ketetapan yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini,” menurut kenyataan itu.
Justeru, baginda meminta semua pihak membaca dan menghadamkan kenyataan yang dibuat Jabatan Mufti Negeri Selangor dan khutbah Jumaat berhubung perkara itu.
Menurut kenyataan itu, Malaysia mempunyai kaedah tersendiri untuk menentuan awal Ramadan dan Syawal melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur, teliti dan berpandukan kepada keputusan pihak berkuasa agama berwibawa.
Kaedah itu telah sekian lama diyakini serta dipersetujui Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi penetapan yang dibuat oleh negara- negara lain.
Sebagaimana penjelasan terbaru daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 10 Mac 2026, bahawa permulaan awal bulan Islam adalah bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) dan data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara.
“Setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza,” menurut kenyataan itu.
Menurut Istana Alam Shah, khutbah Jumaat hari ini turut menyatakan kaedah penentuan awal bulan Syawal dan menasihatkan agar semua umat Islam menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak bertanggungjawab.
Baginda juga menyeru umat Islam agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan daripada memanfaatkan sepuluh malam terakhir Ramadan, yang merupakan tempoh amat berharga untuk memperbanyakkan ibadah, doa dan memohon keampunan daripada Allah.
-- BERNAMA