RAMALLAH: Palestin pada Jumaat mengecam layanan buruk Israel terhadap aktivis yang menuju ke Gaza, dengan menyifatkan tindakan mereka mencerminkan dasar yang tidak berlandaskan “undang-undang, nilai kemanusiaan dan maruah manusia”, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Palestin berkata pihaknya “mengecam penderaan dan penghinaan yang dialami aktivis Global Sumud Flotilla, yang menuju ke Semenanjung Gaza dalam misi kemanusiaan mulia, di tangan pasukan pendudukan dan menteri ekstremis mereka.”
Kementerian itu berkata Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir sengaja merakam dan menyiarkan layanan terhadap aktivis berkenaan sambil berbangga dengan tindakannya, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada dasar Israel lebih luas dan bukan “insiden terpencil” atau “pertunjukan politik individu”.
Menurut kementerian itu, insiden berkenaan menunjukkan bagaimana Israel menjadikan penghinaan kolektif sebagai sebahagian daripada doktrin politik dan keselamatannya secara terbuka.
Kementerian itu turut memuji peserta flotila berkenaan atas “keberanian dan pendirian kemanusiaan yang mulia dalam menyokong rakyat Palestin di Semenanjung Gaza”.
Dalam kenyataan berasingan, Presiden Palestin berkata tindakan memintas kapal flotila itu di perairan antarabangsa “merupakan perbuatan tidak sah, lanun laut dan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa, selain serangan jelas terhadap kebebasan pelayaran dan tugas kemanusiaan serta solidariti antarabangsa.”
Presiden Palestin turut mengecam kenyataan menghasut Ben-Gvir dan komennya yang mahu aktivis berkenaan kekal dipenjarakan “selama mungkin”, sambil menyifatkannya sebagai mencerminkan “mentaliti rasis dan ekstremis yang menguasai dasar kerajaan pendudukan”.
Presiden Palestin menggesa masyarakat antarabangsa memikul “tanggungjawab undang-undang dan kemanusiaan terhadap rakyat Palestin, menamatkan sekatan ke atas Semenanjung Gaza serta berusaha menghentikan serangan berterusan Israel terhadap rakyat, tanah dan tempat suci.”
Pada Rabu, Ben-Gvir menyiarkan video di media sosial yang mempersendakan aktivis Global Sumud Flotilla ketika tangan mereka diikat dengan kabel dan dipaksa melutut.
Video itu mencetuskan kemarahan di dalam dan luar negara, dengan beberapa negara termasuk Itali, Ireland dan Sepanyol menggesa Kesatuan Eropah mengenakan sekatan terhadap Ben-Gvir.
Israel merampas flotila yang membawa 428 orang dari 44 negara itu di perairan antarabangsa pada Isnin dan menahan semua aktivis di atas kapal.
-- BERNAMA-ANADOLU