Skip to main content

Malaysia

Tanah runtuh, pokok tumbang sebabkan gangguan lalu lintas di Balik Pulau

61505959921_TanahRuntuh.jpg
Hujan lebat sejak awal pagi tadi dipercayai menjadi punca berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Sardon, di sini, Jalan Bukit Baru, Paya Terubong dan Jalan Balik Pulau, Bayan Lepas sekaligus mengakibatkan jalan utama menuju ke Balik Pulau dan George Town terhalang.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memaklumkan setakat ini usaha mengalihkan pokok yang tumbang dan bongkah batu sedang giat dijalankan.

Ekoran kejadian berkenaan, pengguna jalan raya dilaporkan terkandas sejak jam 7 pagi  dan tidak dapat melalui jalan berkenaan malah  ramai yang terpaksa berpatah balik.

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat

Namun kenderaan ringan seperti motosikal dikatakan masih boleh melalui jalan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya ( JKR) Negeri, Ahmad Redza Ghulam Rasool ketika dihubungi memaklumkan kejadian dilaporkan berlaku di KM 5.5 Jalan Tun Sardon.

Katanya,pihak JKR  telah pun berada di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan kontraktor pembersihan JKR telah dikerah untuk membersihkan kawasan berkenaan.

Pihaknya akan membersihkan sisa runtuhan dengan segera bagi membolehkan sekurang-kurangnya satu laluan dibuka kepada lalu lintas.

Orang ramai dan pengguna lalu lintas turut dinasihati agar lebih berhati-hati melalui kawasan berisiko banjir dan pokok tumbang terutama pada musim hujan ketika ini.

Must Watch Video