Skip to main content

Malaysia

Tahanan Pakistan bolos: Polis perketat kawalan sempadan negara

81749657109_TBPOLISPDRM.jpg
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat pemeriksaan di semua pintu sempadan negara bagi mengesan tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, Selangor pada Khamis lepas. - Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperketat pemeriksaan di semua pintu sempadan negara bagi mengesan tahanan reman warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh, Selangor pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kawalan ketat itu bagi mengelakkan suspek Muhammad Hassan, 24, melarikan diri ke luar negara.

“Operasi mencari dan menangkap suspek kini digerakkan dalam skala lebih besar merangkumi bantuan Pasukan Gerakan Am, Pangkalan Gerakan Udara serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.

“PDRM memberi jaminan keselamatan awam masih terpelihara. Namun begitu, orang ramai perlu sentiasa peka dan tidak mengambil mudah setiap perkara yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek melarikan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh pada 6 petang selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam, Selangor.

Suspek yang ditahan bagi perbicaraan berkaitan kes seksual terhadap kanak-kanak dan kesalahan imigresen kali terakhir dilihat memakai kemeja-T oren dan seluar panjang hitam.

Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhendran Chandra menerusi talian 010-4304383 atau Hotline Bilik Operasi Search and Capture (SAC) 03-61401096.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video