Skip to main content

Malaysia

Syawal sebagai landasan memperkukuh silaturahim

71743336438_TBRAYAGENERIC.jpg
Kehadiran Syawal, khususnya dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan detik yang dinanti oleh umat Islam setelah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan. - Gambar hiasan

SYAWAL merupakan bulan yang penuh dengan kemuliaan. 

Kehadiran Syawal, khususnya dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan detik yang dinanti oleh umat Islam setelah menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Di Malaysia, Aidilfitri diraikan dengan penuh kemeriahan melalui hidangan istimewa, pakaian baharu serta tradisi ziarah-menziarahi dan saling bermaafan yang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Tradisi ini menggambarkan ajaran Islam yang menekankan kepentingan memperkukuh silaturahim dan hubungan kekeluargaan. Justeru, bulan Syawal menjadi landasan terbaik untuk umat Islam mempererat kembali ikatan persaudaraan, mengukuhkan kasih sayang dan merapatkan ukhuwah sesama Muslim.

Kepentingan Silaturahim dalam Islam

Menghubungkan silaturahim adalah tuntutan yang mulia dalam Islam. Bahkan, al-Quran mengaitkan penjagaan hubungan kekeluargaan dengan ketakwaan kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya: “…Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah al-Nisa’: 1)

Demikian juga, Islam memberikan amaran keras terhadap perbuatan memutuskan silaturahim sebagaimana sabda Baginda SAW: “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim.” (Muttafaqun ‘alaih)

Ancaman ini menunjukkan bahawa memutuskan hubungan silaturahim tergolong dalam dosa besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Sebaliknya, sesiapa yang bersungguh-sungguh menyambung silaturahim dijanjikan ganjaran istimewa, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menjalin silaturahim.”(HR. Bukhari, no. 5640).

Ini bermakna menjaga silaturahim membawa keberkatan hidup dan rezeki di dunia, di samping memperoleh ganjaran di sisi Allah SWT di akhirat kelak.

Syawal Menyubur Silaturahim

Bulan Syawal sering dikaitkan dengan semangat baharu dan kegembiraan selepas berjaya melalui tarbiah Ramadan. 

Aidilfitri diraikan dengan pertemuan keluarga serta sahabat handai dalam suasana penuh kemesraan dan kesyukuran. Inilah kesempatan terbaik untuk mempererat ukhuwah yang mungkin terjejas oleh kesibukan hidup harian.

Amalan seperti solat sunat Aidilfitri dan budaya ziarah-menziarahi membuka ruang kepada umat Islam untuk bertemu, berkenalan semula serta mengeratkan hubungan persaudaraan. 

Mereka yang tinggal di bandar berpeluang bersua muka dengan jiran tetangga yang mungkin jarang ditemui, manakala mereka yang berada di kampung pula dapat bertemu saudara-mara serta kenalan lama.

Dalam suasana penuh keberkatan ini, umat Islam dapat saling mengucapkan salam, bermaafan serta saling mengundang kunjungan ke rumah masing-masing bagi mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan silaturahim. 

Sehubungan itu, terdapat beberapa cara praktikal yang boleh diamalkan bersama sempena Syawal untuk terus memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, antaranya:

Ziarah keluarga terdekat

Utamakan menziarahi ibu bapa, datuk nenek dan ahli keluarga terdekat, terutama yang sudah lama tidak ditemui. 

Amalan balik kampung untuk beraya bersama orang tua merupakan peluang keemasan mengubat kerinduan dan mengukuhkan hubungan kekeluargaan. 

Luangkan masa berkunjung ke rumah saudara-mara walaupun perjalanan jauh kerana kehadiran anda pasti menggembirakan mereka dan menguatkan ikatan kasih sayang.

Saling bermaafan dengan tulus

Jadikan budaya bermaaf-maafan di Aidilfitri sebagai saat untuk benar-benar melapangkan jiwa dan meruntuhkan tembok ego.

Mohonlah kemaafan daripada ibu bapa, suami isteri, adik-beradik, sahabat handai dan jiran tetangga atas segala silap dan salah, sama ada disengajakan atau tidak. Islam sangat menggalakkan umatnya agar segera berdamai jika berlaku perselisihan, bahkan dilarang memutuskan hubungan atau tidak bertegur sapa lebih daripada tiga hari.

Oleh itu, rebutlah peluang Syawal untuk merapatkan semula hubungan yang retak dan melupakan segala sengketa lama dengan hati yang tulus. Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya agar saling memaafkan demi mencapai keredaan Allah SWT.

Hal ini selaras dengan firman Allah SWT yang menyeru agar umat Islam berlapang dada dan memaafkan kesalahan orang lain, supaya Allah juga mengampuni dosa-dosa mereka, sebagaimana firman-Nya: “…dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nur: 22)

Mengunjungi jiran dan sahabat

Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri bersama keluarga, janganlah dilupakan jiran tetangga serta rakan taulan. Ambillah kesempatan untuk menziarahi jiran sebelah-menyebelah dan kenalan rapat walaupun sekadar singgah sebentar. Tunjukkan keprihatinan dengan bertanya khabar, mengucapkan salam serta menyampaikan ucapan Aidilfitri. Sesungguhnya amalan ini selaras dengan ajaran Islam yang menekankan pemeliharaan hak jiran serta memperkukuh nilai persaudaraan sesama Muslim.

Menyantuni yang kurang bernasib baik

Dalam kemeriahan beraya, janganlah dilupakan mereka yang kurang bernasib baik. 

Ambillah inisiatif untuk menziarahi ahli keluarga atau kenalan yang uzur, warga emas yang tinggal bersendirian, anak yatim piatu serta golongan fakir miskin dalam komuniti.

Hulurkan bantuan atau hadiah sekadar termampu untuk menceriakan mereka di bulan Syawal yang mulia ini.

Langkah ini dapat menggembirakan hati golongan tersebut, di samping menyuburkan rasa ukhuwah dan keprihatinan sosial dalam diri serta keluarga. Sesungguhnya, memberi kegembiraan kepada orang lain adalah sebahagian daripada akhlak terpuji yang sangat dianjurkan dalam Islam.

Sebagai kesimpulannya, bulan Syawal adalah ruang untuk umat Islam merapatkan kembali segala jurang dalam hubungan kekeluargaan dan persaudaraan sesama Muslim.

Nilai persaudaraan dan kasih sayang yang dipupuk sepanjang Ramadan kini diterjemahkan melalui amalan ziarah, bermaafan dan saling mengunjungi di Hari Raya Aidilfitri. 

Justeru, marilah kita merebut peluang yang berharga ini untuk memperkukuh silaturahim dengan hati yang ikhlas serta berazam mengekalkan amalan mulia ini sepanjang tahun dan bukan setakat di bulan Syawal sahaja.

Must Watch Video