PUTRAJAYA: Syarikat-syarikat solar Bumiputera diminta memberikan perhatian ke terhadap keperluan kritikal pada peringkat penilaian projek solar, meliputi aspek keupayaan teknikal dan kekuatan kewangan.
Ini termasuk kesesuaian tapak projek dan pematuhan kepada keperluan kelulusan pihak berkuasa.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, perkara berkenaan dibangkitkan ketika Sesi Libat Urus (SLU) Strategik Bersama Syarikat Solar Bumiputera semalam, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“PETRA mengambil maklum secara serius isu dibangkitkan pemain industri Bumiputera, termasuk kekangan pembiayaan, keperluan pengalaman, struktur tarif dan caj, mekanisme pasaran yang lebih kompetitif dan cadangan program tenaga boleh baharu (TBB) yang boleh diketengahkan.
“PETRA juga berharap sesi itu menjadi pencetus kepada penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh ekosistem industri tempatan melalui pemindahan teknologi serta pembangunan kapasiti,” menurut kementerian itu.
SLU berkenaan sebagai sebahagian daripada agenda strategik untuk memperkukuh penyertaan pemain tempatan dalam pembangunan industri TBB, khususnya melalui program Large Scale Solar (LSS) dan Battery Energy Storage System (BESS).
Sesi berkenaan dimulakan dengan taklimat daripada Suruhanjaya Tenaga, yang menekankan bahawa pelaksanaan program LSS dan BESS adalah berteraskan empat prinsip utama, iaitu memastikan kestabilan grid, menawarkan kos paling kompetitif kepada pengguna, menjamin kebolehlaksanaan projek yang tinggi, serta membangunkan ekosistem industri tempatan termasuk penyertaan Bumiputera.
Selain bertujuan mendapatkan pandangan, sesi itu juga diharap dapat mewujudkan sinergi sesama syarikat solar Bumiputera untuk bergabung tenaga bagi membangunkan projek solar berskala lebih besar, sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan Bumiputera.
-- BERNAMA