Skip to main content

Malaysia

Syarikat didenda RM130,000 kemuka invois palsu, enggan kemuka maklumat beli diesel

41744355779_courtgavel.jpg
Hakim menjatuhkan hukuman denda RM85,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM15,000 bagi setiap tiga pertuduhan lain selepas pengarah syarikat berkenaan membuat pengakuan bersalah. - Gambar hiasan

BUTTERWORTH: Sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan jualan runcit bahan api didenda RM130,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan memberikan maklumat palsu berhubung invois dan enggan mengemukakan maklumat berkaitan pembelian diesel, pada 2023.

Hakim Nor Azah Kasran menjatuhkan hukuman denda RM85,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM15,000 bagi setiap tiga pertuduhan lain selepas pengarah syarikat berkenaan Lai Yong Keong, 47, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd selaku pemegang lesen borong minyak diesel didapati dalam pengetahuan telah memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 berhubung invois atau resit pembelian minyak diesel melalui sembilan invois.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya, Seberang Jaya, di sini, pada 10.30 pagi, 18 Feb 2023.

Mengikut pertuduhan kedua hingga keempat, syarikat berkenaan didakwa enggan mengemukakan maklumat berkaitan dokumen Penyata Kewangan Bank di bawah Syarikat Profusion Petroleum Sdn Bhd (September 2022 sehingga Februari 2023) yang diminta oleh pegawai bekalan melalui borang Arahan Mengemukakan Maklumat Barang Kawalan Di Bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua tiga kesalahan itu dilakukan antara 18 Feb hingga 10 Mac 2023 di lokasi sama.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan kesalahan pada kali kedua dan seterusnya, didenda tidak melebihi RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) S.Preeya Darrsini memohon hukuman denda setimpal memandangkan kesalahan yang dilakukan merupakan isu nasional yang memberikan kesan kepada ekonomi negara dan rakyat. 

Bagaimanapun, peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh yang mewakili Orang Kena Saman (OKS) memohon denda yang minimum kerana kesalahan tersebut berlaku tanpa pengetahuan anak guamnya sehingga saksi hadir memberi keterangan di mahkamah dan didapati invois tersebut palsu.

Pada 8 Mac 2024, Lai mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan membabitkan kesalahan berkaitan pembelian diesel, namun beliau menukar pengakuan tersebut hari ini.

Terdahulu, pihak pendakwaan juga bersetuju untuk menggugurkan empat pertuduhan terhadap OKS dan hanya mengekalkan empat pertuduhan terhadap syarikat berkenaan.

— BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video