KUALA LUMPUR: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) pada Jumaat memaklumkan, englibatan syarikat milik bukan Islam dalam platform digital ZPay hanyalah sebagai penyedia infrastruktur teknologi dan bukan sebagai ejen kutipan zakat.
Kenyataan Zakat Selangor memaklumkan, ZPay merupakan aplikasi rasmi milik lembaga itu yang dibangunkan sebagai platform saluran pembayaran zakat tanpa tunai bagi memudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab dengan lebih pantas, selamat dan teratur.
"Bagi membangunkan dan mengendalikan kemudahan digital ini, Zakat Selangor melantik penyedia teknologi berdasarkan kepakaran teknikal serta keperluan keselamatan sistem," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, ATX Distribution Sdn Bhd dilantik bagi membangunkan sistem dan menyelenggara aplikasi ZPay manakala GKash pula ialah gerbang pembayaran yang diintegrasikan oleh pihak ATX bagi tujuan pemprosesan transaksi digital secara masa nyata.
Selain itu, GKash berfungsi sebagai infrastruktur teknikal yang menghubungkan institusi perbankan pembayar dengan sistem ZPay dan ia tidak mempunyai sebarang hubungan kontrak lantikan sebagai ejen kutipan dengan Zakat Selangor.
Bagaimanapun, Zakat Selangor memaklumkan, tanggungjawab kutipan dan agihan zakat dilaksanakan sepenuhnya oleh Zakat Selangor bersama Penolong Amil individu yang ditauliahkan secara rasmi oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Kenyataan itu menyebut bayaran zakat diurus melalui akaun khusus patuh syariah yang dikawal selia mengikut perjanjian serta prosedur kewangan Zakat Selangor bagi memastikan transaksi lancar, pemprosesan cekap dan agihan upah Penolong Amil dapat dibuat secara segera tanpa menjejaskan integriti dana zakat.
Sebarang caj pemprosesan transaksi serta bayaran kepada penyedia saluran pembayaran adalah berdasarkan kos perkhidmatan sistem yang diperuntuk di bawah pengurusan amil manakala jumlah yang dibayar kekal sepenuhnya sebagai dana zakat dan tidak melibatkan sebarang potongan komisen.
“Dari sudut hukum syarak, penggunaan kemudahan transaksi kewangan yang disediakan oleh penyedia saluran pembayaran, termasuk syarikat bukan Islam, adalah diharuskan selaras dengan prinsip fiqh muamalat di bawah konsep Ijarah (sewaan perkhidmatan),” katanya.
Menurut Zakat Selangor, kaedah pembayaran digital tidak menjejaskan niat pembayar, tidak menggugat kesempurnaan akad zakat serta tidak menjejaskan kesahan ibadah zakat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 30 Okt 2019 yang memutuskan pembayaran zakat melalui saluran digital seperti e-dompet dan kod QR adalah harus menurut hukum syarak.
“Pelaksanaan kemudahan pembayaran digital oleh Zakat Selangor sentiasa melalui penelitian syariah serta pematuhan kepada ketetapan hukum yang berkuat kuasa... setiap inovasi perkhidmatan dilaksanakan dalam kerangka hukum syarak serta tadbir urus syariah yang ketat.
“Zakat Selangor kekal komited dalam memastikan setiap urusan kutipan dan agihan zakat dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan oleh MAIS,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA