SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan cemerlang menerima Anugerah Labaytum Diamond dua tahun berturut-turut, dengan yang terbaharu bagi musim haji 1447H/2026M.
Istana Alam Shah dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan pengiktirafan berprestij kali kelima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu sebagai bukti jelas kecekapan, profesionalisme dan komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus serta menyelaras operasi haji Malaysia di Mekah dan Madinah.
Sultan Selangor bertitah kejayaan berkenaan bukan sahaja membanggakan TH, malah mengharumkan nama Malaysia dan memperkukuh reputasi negara sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip-prinsip syariah.
“Baginda sendiri pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali serta beberapa kali mengerjakan ibadah umrah melalui bimbingan TH.
“Berdasarkan pengalaman peribadi tersebut, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan oleh TH yang disifatkan baginda sebagai amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan yang sama, Sultan Sharafuddin turut mengimbas kembali sejarah penubuhan TH, yang dicetuskan oleh tokoh ilmuwan dan ekonomi tersohor negara Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, yang telah membantu jutaan umat Islam dalam menunaikan Ibadah berkenaan secara sistematik.
“Melalui pemikiran jauh beliau pada tahun 1959, satu model simpanan dan pelaburan patuh syariah diwujudkan bagi membantu orang Melayu Islam menyimpan wang secara terancang untuk menunaikan ibadah haji tanpa perlu menjual aset atau berhutang,” menurut kenyataan itu.
Sultan Selangor turut berkenan menzahirkan penghargaan kepada para jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak yang tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.
Baginda bertitah bahawa sikap tertib, kerjasama yang baik serta kepatuhan kepada peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi, serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara.
“Baginda percaya bahawa kecemerlangan yang dicapai pada musim haji tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan TH, khususnya Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta petugas-petugas haji dan para jemaah sendiri yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan serta memelihara nama baik negara.
“Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa Tabung Haji akan terus mengekalkan kecemerlangan serta berusaha secara berterusan untuk menambah baik operasi dan mutu perkhidmatannya dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Sultan Sharafuddin turut menzahirkan harapan agar institusi itu terus menjadi kebanggaan negara dan kekal komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para Dhuyufurrahman demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan umat Islam seluruhnya.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia terus mengukuhkan reputasinya sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila Lembaga Tabung Haji berjaya mempertahankan Anugerah Labaytum buat kali kelima berturut-turut.
TH turut mengekalkan Diamond Award buat kali kedua pada musim haji 1447H/2026M, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.
-- BERNAMA