Skip to main content

Malaysia

Sultan Pahang zahir sokongan seruan Sultan Selangor agar umat Islam, Melayu bersatu

KUANTAN, 6 Mac -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Majlis Pengisytiharan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) di Istana AbdulAziz, hari ini.  Turut kelihatan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan), Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar (kiri).  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Al-Sultan Abdullah menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini agar terus memelihara perpaduan serta mengelakkan perpecahan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru umat Islam dan orang Melayu di negara ini agar terus memelihara perpaduan serta mengelakkan perpecahan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan kestabilan negara.

Menerusi Perutusan Aidiladha 2026, baginda bertitah, dalam suasana dunia yang semakin mencabar ketika ini, rakyat perlu mengelakkan diri daripada mudah dipengaruhi perkara-perkara yang boleh meretakkan hubungan masyarakat.

"Aidiladha merupakan simbol pengorbanan, keikhlasan dan kekuatan ukhuwah sesama umat Islam yang perlu terus dipertahankan demi memperkukuh persaudaraan dan perpaduan ummah.

“Perhimpunan jutaan umat Islam di Tanah Suci tanpa mengira bangsa, darjat dan kedudukan membuktikan bahawa Islam menuntut umatnya hidup bersatu padu, saling menghormati dan memperkukuhkan persaudaraan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap seruan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj supaya umat Islam dan orang Melayu di negara ini terus bersatu padu serta mengelakkan perpecahan yang boleh melemahkan kekuatan bangsa dan mencetuskan keresahan rakyat.

Menurut baginda, Aidiladha membawa pengajaran mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah selain menjadi lambang kesatuan umat Islam tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan.

Baginda turut mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah bangsa dan negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kesatuan rakyat, kestabilan masyarakat serta sikap saling menghormati antara kaum dan agama.

Dalam titah sama, baginda berharap seluruh rakyat di negeri ini sentiasa memelihara adab, memperkukuhkan semangat muafakat dan mengutamakan kepentingan bersama demi keamanan serta kesejahteraan negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar turut bertitah mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik serta memperoleh haji mabrur dan kembali ke tanah air dengan selamat.

Baginda berdua turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Negeri Pahang Darul Makmur walau di mana mereka berada.

Must Watch Video

Advertisement