KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang meninggal dunia petang semalam.
Menerusi hantaran Facebook, baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Paduka Baginda berdua juga berharap agar segala urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan serta tabah atas kehilangan insan tersayang,” menurut hantaran itu.
Menurut hantaran itu, Allahyarham merupakan tokoh ilmuwan yang banyak berjasa dan dikenali sebagai pengasas konsep Islamisasi ilmu pengetahuan yang memberi pengaruh besar terhadap perkembangan pemikiran pendidikan Islam moden di peringkat antarabangsa.
“Sepanjang kerjayanya dalam dunia akademik, Allahyarham menghasilkan puluhan karya ilmiah merangkumi pelbagai bidang termasuk falsafah, sejarah, teologi, kesusasteraan dan tamadun Islam.
“Antara karya berpengaruh beliau ialah Islam and Secularism, The Concept of Education in Islam serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam, yang menjadi rujukan penting dalam kalangan sarjana di seluruh dunia,” menurut hantaran itu.
Kesultanan Pahang memaklumkan sumbangan besar Allahyarham dalam memartabatkan tradisi keilmuan Islam serta memperkukuh wacana intelektual Melayu-Islam menjadikan beliau antara tokoh pemikir paling berpengaruh di rantau ini.
Syed Muhammad Naquib, pengasas dan pengarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) meninggal dunia pada 6.47 petang semalam.
-- BERNAMA