RIYADH: Direktorat Am Pasport mengumumkan permohonan elektronik untuk permit memasuki Mekah dibuka kepada pekerja pemastautin pada musim haji ini (1447H/2026M), lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Dipermudah menerusi penyepaduan teknikal dengan perkhidmatan "Makkah Entry Permit” permohonan boleh dihantar melalui portal "Absher" dan "Muqeem", sekali gus menghapuskan sepenuhnya keperluan untuk pergi ke pejabat pasport.
Platform “Individu Absher” dikhususkan untuk pengeluaran permit bagi warga Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu warga Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, pemegang Residensi Premium, pelabur, ibu, pekerja domestik dan ahli keluarga bukan Arab Saudi.
Sementara itu, portal "Muqeem" menyediakan perkhidmatan kepada pekerja pertubuhan yang berpangkalan di Mekah dan mereka yang mempunyai kontrak pekerjaan dengan pertubuhan tersebut semasa musim haji.
-- BERNAMA-SPA