Skip to main content

Malaysia

SPRM Pulau Pinang panggil 63 individu bantu siasatan salah guna kuasa, penyelewengan dana zakat

sprm
Kesemua individu terbabit dipanggil secara berperingkat sejak siasatan dimulakan pertengahan Januari lepas. - Gambar hiasan

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah memanggil 63 individu bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah serta penyelewengan dana zakat.

​Menurut sumber SPRM, kesemua individu terbabit dipanggil secara berperingkat sejak siasatan dimulakan pertengahan Januari lepas, dengan SPRM turut mempergiatkan usaha semakan akaun yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah.

​Antara yang dipanggil untuk dirakam keterangan termasuk ahli Majlis Agama Islam Negeri, mufti, setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang, serta pegawai dan pekerja di agensi berkenaan.

​Turut dipanggil ialah ahli Lembaga Zakat serta pegawai dan pekerja pusat zakat negeri tersebut.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Mohamad Abdul Hamid tiba di pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada 9.48 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri, bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri disyaki menggunakan kedudukan serta jawatan masing-masing untuk mencadangkan dan meluluskan pembelian tiga lot tanah pada harga kira-kira RM10 juta.

​“Bagi kes kedua, suspek utama bersama pengurus besar Agihan Zakat Negeri disyaki menyalahgunakan dana zakat melalui Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000. Dana tersebut digunakan untuk bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan,” kata sumber tersebut.

​Hujung Januari lepas, SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan susulan pendedahan yang dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan negeri, hujung tahun lepas.

​Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

​-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found