Skip to main content

Dunia

AS gantung kerjasama pertahanan lama dengan Kanada

FILE PHOTO: U.S. President Donald Trump and Canada's Prime Minister Mark Carney meet in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., October 7, 2025. REUTERS/Evelyn Hockstein/File Photo
Hubungan antara Washington dan Ottawa semakin renggang sejak Presiden Donald Trump kembali memegang jawatan pada 2025. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan penggantungan penyertaan dalam mekanisme kerjasama pertahanan bersama dengan Kanada yang telah wujud sejak Perang Dunia Kedua, sekali gus menandakan peningkatan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu.

Jabatan Pertahanan AS memaklumkan bahawa ia akan menghentikan penglibatan dalam 'Permanent Joint Board on Defense' (PJBD) bagi menilai semula keberkesanan forum berkenaan.

Penolong Setiausaha Pertahanan AS, Elbridge Colby, berkata langkah itu diambil kerana Kanada didakwa gagal memenuhi komitmen pertahanannya.

“Kanada yang kuat dan memberi keutamaan kepada keupayaan ketenteraan sebenar memberi manfaat kepada semua pihak. Namun, Kanada gagal menunjukkan kemajuan yang boleh dipercayai dalam komitmen pertahanannya,” katanya.

 

 

PJBD ditubuhkan pada 1940 sebagai platform kerjasama antara AS dan Kanada dalam isu keselamatan dan pertahanan benua Amerika Utara, melibatkan pegawai tentera dan awam kedua-dua negara.

Forum itu selama ini menjadi saluran penting untuk perancangan strategik bersama serta penyelarasan keselamatan serantau.

Hubungan antara Washington dan Ottawa semakin renggang sejak Presiden Donald Trump kembali memegang jawatan pada 2025.

Pentadbiran Trump berulang kali mengkritik sekutu Barat, termasuk Kanada, kerana didakwa terlalu bergantung kepada kekuatan ketenteraan AS.

Ketegangan turut dipengaruhi isu lain seperti tarif perdagangan, rundingan semula perjanjian perdagangan Amerika Utara serta perbezaan pendirian dalam dasar keselamatan dan ekonomi.

Negara sekutu AS menolak dakwaan tersebut dan menyatakan mereka sedang meningkatkan perbelanjaan ketenteraan.

Pada sidang kemuncak NATO sebelum ini, kebanyakan negara anggota bersetuju meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kanada di bawah Perdana Menteri Mark Carney turut menyokong sasaran itu, dengan sebahagian besar peruntukan bertujuan memperkukuh keupayaan ketenteraan teras negara.

Carney juga sebelum ini menyuarakan hasrat untuk mengurangkan pergantungan Kanada terhadap AS dalam bidang ketenteraan dan ekonomi.

Langkah terbaru itu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih tegas pentadbiran Trump dalam menekan sekutu agar meningkatkan sumbangan pertahanan masing-masing.

Namun, keputusan tersebut mendapat kritikan daripada beberapa ahli politik AS sendiri yang bimbang ia boleh menjejaskan hubungan tradisional antara kedua-dua negara.

Pakar pula melihat tindakan ini mencerminkan perubahan dalam hubungan keselamatan Amerika Utara, yang selama ini dianggap antara yang paling stabil di dunia.

Dengan kerjasama pertahanan utama kini digantung, masa depan hubungan ketenteraan antara AS dan Kanada dijangka terus menjadi perhatian, khususnya di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.
 

 

Must Watch Video