SELANGOR: Polis menumpaskan kegiatan penyeludupan dadah ke negara jiran menggunakan bot pancung di sekitar perairan Selangor dan merampas dadah bernilai RM12.6 juta, pada 12 Februari lalu.
Op Tapis oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu membawa kepada penahanan tiga warga Indonesia, termasuk seorang wanita.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek berusia antara 26 hingga 53 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sekinchan.
Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Sungai Leman, polis menemui tiga bungkusan plastik dipercayai mengandungi methamphetamine seberat 11.36 gram.
Serbuan kedua pula menyasarkan sebuah bot tidak bernombor di sebuah jeti ikan, Sekinchan.
"Pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan 152 bungkusan disyaki methamphetamine seberat 158.61 kilogram, lima bungkusan plastik dipercayai dadah jenis ekstasi seberat 10.89 kilogram serta 2,000 kartrij disyaki MDMA seberat lima kilogram.
"Turut dirampas sepucuk pistol bersama peluru yang dipercayai digunakan bagi melindungi kegiatan sindiket berkenaan," katanya semasa sidang media pada hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak awal 2021 dengan suspek utama bertindak sebagai penyelaras operasi laut dan darat, manakala seorang lagi berperanan sebagai penghantar serta pemandu bot.
Katanya, suspek wanita pula isteri kepada koordinator berkenaan.
Beliau berkata, polis percaya bekalan dadah diperoleh dari Semenanjung sebelum dibawa keluar ke negara jiran melalui Selat Melaka.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif methamphetamine dan dipercayai berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan mendakwa bekerja sebagai nelayan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama 14 hari sehingga 26 Februari bagi membantu siasatan lanjut.
Polis menegaskan usaha membanteras sindiket penyeludupan dadah melalui laluan laut akan terus dipergiat demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.