SEOUL: Kementerian Luar Korea Selatan pada Khamis menggesa rakyatnya di Lubnan supaya segera meninggalkan negara itu, susulan serangan udara yang berterusan di Asia Barat walaupun terdapat gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Duta Seoul ke Lubnan, Jeon Gyu-seok, berkata di laman web kedutaan bahawa rakyat Korea di negara Asia Barat itu perlu “mempertimbangkan secara serius untuk keluar dan berpindah ke lokasi selamat secepat mungkin,” sambil memberi amaran bahawa pendekatan “tunggu dan lihat” semakin berbahaya.
Ketika ini, kira-kira 90 rakyat Korea, sekitar 10 kakitangan kedutaan dan kira-kira 180 anggota pasukan pengaman Korea Selatan, Unit Dongmyeong, berada di Lubnan.
Walaupun AS dan Iran bersetuju pada Rabu untuk melaksanakan gencatan senjata selepas konflik selama sebulan, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di seluruh Lubnan dengan alasan negara itu tidak terlibat dalam perjanjian berkenaan. Lebih 1,000 korban dilaporkan susulan serangan itu.
“Kedutaan akan memberikan segala sokongan yang mungkin, namun jika keadaan bertambah buruk, keupayaan kami untuk membantu mungkin menjadi terhad,” menurut kenyataan itu.
Walaupun pangkalan Unit Dongmyeong terletak jauh dari kawasan yang terjejas oleh serangan udara baru-baru ini, semua aktiviti di luar pangkalan telah digantung sepenuhnya, menurut kementerian itu.
Kementerian juga mengadakan mesyuarat bersama dengan perwakilan luar negara pada hari yang sama bagi membincangkan langkah memastikan keselamatan rakyat di Asia Barat.
“Serangan udara berskala besar dan korban berlaku di seluruh Lubnan semalam, dan keadaan masih tidak stabil di beberapa negara seperti Arab Saudi dan Kuwait,” kata Ketua Pengarah Hal Ehwal Konsular dan Keselamatan, Yoon Ju-seok, sambil menggesa perwakilan luar negara memeriksa keselamatan rakyat serta mengesyorkan pemindahan segera.
-- BERNAMA-YONHAP