Skip to main content

Malaysia

Konflik Asia Barat serlah keperluan ke arah keterjaminan dan peralihan tenaga – TPM Fadillah

KUALA LUMPUR, April 9 -- Deputy Prime Minister Datuk Seri Fadillah Yusof speaks during the Malaysia Energy, Water & Climate Change Summit 2026 themed “Implementing Infrastructure, Renewable Energy, and Water Reform for a Net Zero Malaysia” at the World Trade Centre Kuala Lumpur today.  - fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Ketegangan geopolitik terkini di Asia Barat menyerlahkan keperluan Malaysia untuk memperkukuh keterjaminan dan mempercepat usaha peralihan tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketegangan geopolitik terkini di Asia Barat menyerlahkan keperluan Malaysia untuk memperkukuh keterjaminan dan mempercepat usaha peralihan tenaga, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata ketidakstabilan pasaran tenaga global membuktikan bahawa keterjaminan tenaga bukan sekadar teori tetapi bersifat sangat berstruktur.

“Kita berdepan keseimbangan yang halus iaitu beralih daripada bahan bakar fosil dan pada masa sama, memastikan keterjaminan tenaga terpelihara.

“Keuntungan jangka pendek daripada harga minyak yang tinggi tidak seharusnya mengalih perhatian kita daripada kerentanan jangka panjang kerana keterjaminan sebenar bukan tentang apa yang kita peroleh hari ini sebaliknya apa yang mampu kita kekalkan esok,” katanya dalam ucaptama bersempena dengan Sidang Kemuncak Tenaga, Air dan Perubahan Iklim Malaysia 2026 di sini hari ini.

Sidang kemuncak bertema Implementing Infrastructure, Renewable Energy, and Water Reform for a Net Zero Malaysia itu turut dihadiri Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific Tan Sri Michael Yeoh.

Fadillah, yang juga memegang jawatan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata di seluruh ASEAN, tekanan serupa sedang berlaku dan sejarah menunjukkan bahawa semasa krisis, naluri sering menyebabkan sesebuah negara menangguhkan peralihan tenaga serta melanjutkan kebergantungan kepada bahan bakar fosil.

“Bagaimanapun, kita harus menolak naluri itu... sesebuah negara tidak diukur berdasarkan janji yang dibuat tetapi melalui apa yang dilakukan secara konsisten, senyap dan penuh keyakinan.

“Peralihan tenaga bukan sekadar kewajipan terhadap iklim... ia satu keperluan strategik... setiap megawatt tenaga boleh diperbaharui yang kita hasilkan secara tempatan adalah satu langkah menjauhi kerentanan dan satu langkah menuju ke arah kedaulatan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah menetapkan hala tuju dasar yang jelas melalui Pelan Tindakan Peralihan Tenaga Negara namun menegaskan bahawa pelaksanaannya perlu diterjemah kepada tindakan yang nyata.

“Pertama, rangkaian grid... tenaga boleh diperbaharui bukan lagi halangan... yang menjadi kekangan ialah penghantaran... tanpa pengembangan grid, aspirasi kita akan terus terkandas,” katanya.

Menyentuh mengenai reformasi tarif, Fadillah berkata subsidi mungkin meringankan beban ketika ini namun membebankan masa depan, dan kemampanan sistem harus mencerminkan kos sebenar supaya pelaburan dapat menyusulinya.

Beliau juga berkata Malaysia kehilangan lebih 30 peratus air terawat dan lebih 40 peratus di beberapa negeri.

“Namun, tarif masih terpisah daripada realiti operasi... kita tidak boleh mengharapkan kemampanan daripada sistem yang tidak mampu mengekalkan dirinya sendiri.

"Teknologi menawarkan penyelesaian seperti meter pintar, pengesanan menggunakan kecerdasan buatan dan sistem pengoptimuman namun teknologi sahaja tidak mencukupi... apa yang kita perlukan ialah keberanian untuk membuat keputusan sukar, bercakap secara jujur mengenai tarif dan melaksanakan reformasi dengan segera.

“Air tidak menuntut perhatian tetapi ketiadaannya akan menuntut akibat... jika tenaga memacu pertumbuhan kita, air pula menentukan sama ada pertumbuhan itu mampu bertahan,” katanya.

Fadillah berkata komitmen Persekutuan perlu disokong oleh pelaksanaan berkesan di peringkat negeri manakala penyelarasan adalah kritikal untuk melaksanakan transformasi berskala besar.

“Transformasi tidak berlaku secara berasingan... ia berlaku melalui kesatuan,” katanya.

  -- BERNAMA

 

Must Watch Video