MEKAH: Seorang daripada jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci pada Jumaat, selepas rebah ketika berada di kawasan Masjidil Haram.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, pada sidang media memaklumkan, Allahyarham merupakan seorang lelaki berusia 65 tahun dari Pahang yang hadir menunaikan ibadah haji bersama isterinya.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika Allahyarham berada di dataran Masjidil Haram untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
Katanya, pasukan perubatan segera memberikan rawatan awal termasuk bantuan pernafasan di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar, Mekah.
“Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.15 tengah hari akibat komplikasi jantung (cardiac arrest),” katanya.
‘’Pihak Tabung Haji (TH) telah membantu menguruskan segala urusan pengebumian Allahyarham. Jenazah disolatkan di Masjidil Haram selepas solat Maghrib dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al-Sharaea, Mekah,’’ katanya.
Dalam pada itu, TH turut memaklumkan bahawa kebajikan isteri Allahyarham sedang diberi perhatian, selain bantuan sokongan oleh petugas kebajikan, kaunselor dan pembimbing ibadah haji.
Selain itu katanya, TH juga akan mengadakan majlis bacaan yasin dan tahlil bersama jemaah haji lain dalam masa terdekat.
Katanya, TH turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.