Skip to main content

Malaysia

'Semut Hitam' di Mekah, datang saat memerlukan

Semut hitam -- Tabung Haji
Pasukan “Semut Hitam” Tabung Haji menjadi barisan hadapan yang sentiasa ada di saat paling genting.

MEKAH: Dalam kesesakan jutaan jemaah di sekitar Masjidil Haram, kelibat pasukan berbaju hitam dengan jalur hijau sering menjadi tempat pertama jemaah Malaysia berpaling apabila tersasar, panik atau memerlukan bantuan segera.

Mereka dikenali sebagai Pasukan “Semut Hitam” Tabung Haji, barisan hadapan yang senyap tetapi sentiasa ada di saat paling genting.

Ketua Unit Rondaan Tabung Haji sektor Mekah, Ahmad Fauzie Mohd Salleh, berkata pasukan itu menjalankan rondaan berterusan di sekitar Masjidil Haram bagi memastikan jemaah haji dan umrah Malaysia dapat melaksanakan ibadah dengan selamat serta tidak tersasar daripada laluan yang sepatutnya.

Menurut Fauzie, cabaran utama pasukan pada musim haji tahun ini ialah cuaca panas melampau, kepadatan jemaah yang tinggi serta kehadiran ramai jemaah kali pertama yang masih keliru dengan arah dan tatacara pergerakan.

“Walaupun ceramah dan taklimat telah diberikan, apabila mereka berada di lapangan dengan suasana sesak dan panas, ramai jemaah jadi keliru. Di sinilah peranan kami untuk memastikan jemaah tidak masuk ke zon yang salah atau pergi ke tempat yang tidak sepatutnya,” katanya.

Image
Semut hitam -- Tabung Haji
Pasukan “Semut Hitam” Tabung Haji menjadi barisan hadapan yang sentiasa ada di saat paling genting. 

Ahmad Fauzie berkata pasukan rondaan turut berperanan sebagai pasukan bantuan awal, termasuk membantu jemaah yang sakit, tercedera atau mengalami kecemasan sebelum dihantar ke hospital atau diserahkan kepada pasukan perubatan Tabung Haji.

“Kami telah dilatih dengan asas CPR. Jika berlaku kes kecemasan seperti sesak nafas, kami akan beri bantuan awal sementara menunggu pasukan perubatan atau membawa jemaah ke hospital terdekat,” jelasnya.

Pasukan rondaan juga memainkan peranan penting dalam pengurusan dua zon utama penempatan jemaah iaitu Zon A dan Zon B, dengan laluan khusus keluar dan masuk bagi memastikan aliran pergerakan jemaah lebih teratur, terutama ketika waktu puncak.

Bagi memastikan kawalan berkesan, enam pos kawalan utama diwujudkan di sekitar Masjidil Haram, antaranya di kawasan Marwah, Babus Salam, Ajyad, Misfalah, Hafaya dan Masjid Baru, selain kawalan khas di kawasan bas.

“Kami pastikan jemaah Zon A tidak tersalah masuk Zon B dan sebaliknya. Warna lanyard juga digunakan sebagai panduan, tetapi ada jemaah yang masih ikut warna beg semata-mata, sebab semua beg jemaah Malaysia merah. Itu antara punca utama mereka tersasar,” katanya.

Pasukan “Semut Hitam” terdiri daripada kira-kira 14 hingga 15 anggota, dibahagikan kepada dua kumpulan dan bertugas mengikut tiga syif sehari, termasuk syif malam yang disifatkan paling mencabar kerana ramai jemaah melaksanakan umrah wajib pada waktu itu.

Walaupun berdepan kekangan bilangan anggota dan keletihan akibat cuaca panas yang boleh mencecah 40 darjah Celsius, Ahmad Fauzie berkata semangat pasukan tidak pernah luntur.

“Kami anggap jemaah ini seperti ibu bapa dan keluarga kami sendiri. Bila nampak jemaah tersasar, duduk keseorangan atau kelihatan gelisah, kami akan terus hampiri dan bantu,” katanya.

Antara pengalaman paling menyentuh perasaan sepanjang bertugas ialah menguruskan kes jemaah yang meninggal dunia di Masjidil Haram ketika suasana terlalu sesak.

“Kami tak dapat masuk semasa solat kerana terlalu padat. Selepas solat selesai, kami terus ke lokasi dan menjadi pasukan awal menjaga jenazah sehingga pasukan perubatan tiba,” katanya.

Menurut beliau, perubahan pakaian seragam kepada warna hitam dengan jalur hijau menjadikan pasukan lebih mudah dikenali dari jauh, selaras dengan peranan mereka sebagai pasukan barisan hadapan.

“Bila jemaah nampak pasukan Semut Hitam, mereka tahu ke mana hendak bertanya. Itu matlamat kami, sentiasa ada di laluan jemaah, siang dan malam,” katanya.

Ahmad Fauzie menegaskan, walaupun terdapat kritikan di media sosial, pasukan rondaan akan terus memberikan khidmat terbaik dengan pendekatan lebih mesra agar jemaah tidak segan mendapatkan bantuan.

“Kami cuba yang terbaik dengan bilangan yang ada. Apa yang penting, jemaah dapat laksanakan ibadah haji dan umrah mereka dengan selamat dan sempurna,” katanya

Must Watch Video