Skip to main content

Malaysia

Sembilan individu ditahan, terlibat samun emas bernilai RM3.6 juta

SINAR HARIAN
Azizee berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu menyasarkan jurujual yang membawa barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urus niaga di kedai emas sekitar Pulau Pinang. - Foto fail/Sinar Harian

GEORGE TOWN: Polis berjaya menumpaskan satu geng samun berkumpulan bersenjatakan parang dengan penahanan sembilan individu yang disyaki terlibat kes samun emas bernilai RM3.6 juta dalam beberapa serbuan di negeri itu menerusi Op Jingga D Garden.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pihaknya menjalankan operasi bermula 26 Mac hingga semalam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Beliau berkata dalam serbuan yang dilakukan di beberapa lokasi di daerah Barat Daya dan Timur Laut itu, tujuh lelaki tempatan dan dua wanita warga Indonesia yang kesemuanya berusia 23 hingga 43 tahun ditahan.

"Hasil operasi itu, polis turut merampas sejumlah barang kemas seberat 4.3 kilogram (kg), sebilah parang, empat tayar bersama sportrim, tiga bentuk cincin serta dua kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan samun tersebut.

"Siasatan awal mendapati kumpulan itu menyasarkan jurujual yang membawa barang kemas bagi tujuan penghantaran atau urus niaga di kedai emas sekitar Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizee berkata dengan tertangkapnya kesemua suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku pada 9.20 pagi 26 Mac lepas di daerah SPU melibatkan kerugian barang kemas seberat 6,023.69 gram bernilai RM3.6 juta.

Beliau berkata hasil semakan mendapati tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau yang serius, termasuk seorang daripadanya memiliki 17 rekod berkaitan jenayah serta satu kes dadah.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya operasi masih diteruskan bagi mengesan saki-baki geng tersebut yang masih bebas.

“Semua suspek yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis dan  mencetuskan kegusaran dalam masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video