Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dirempuh kereta

MUAR – Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Kilometer 136, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini awal pagi Khamis.
Nahas di Kilometer 136 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, awal pagi Khamis. -Foto IPD Muar

MUAR: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Kilometer 136, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan melibatkan motosikal jenis QJMotor dan sebuah kereta Hyundai Sonata itu berlaku pada jam 12.36 pagi.

“Siasatan mendapati kereta berkenaan yang dipandu individu berusia 30 tahun datang dari arah Johor Bahru menghala ke Tangkak.

“Kereta yang dipandu kemudian melanggar seorang penunggang motosikal yang terbaring di tengah jalan selepas dipercayai terbabas sendiri terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penunggang itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang bekerja dalam bidang katering mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir.

Menurut Raiz Mukhliz, pemandu terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mana-mana saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Mereka juga boleh hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar," ujarnya. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement