KOTA KINABALU: Sabah sedang memantau kesan konflik global terhadap sistem rantaian bekalan barangan serta implikasinya kepada pengguna di negeri itu menerusi Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET).
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata beliau telah meminta agens berkaitan menyediakan laporan terperinci mengenai kesan konflik itu terhadap negeri ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata laporan tersebut penting bagi memberi gambaran jelas mengenai impak terhadap Sabah serta pengguna akhir supaya perkara itu boleh dibawa kepada Kabinet atau dibincangkan di peringkat lebih tinggi.
"Saya telah meminta agensi yang terlibat untuk menyediakan laporan...mengenai intervensi atau tindakan susulan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ewon berkata isu rantaian bekalan global itu telah dibincangkan dalam mesyuarat pasca Kabinet kementerian Rabu lepas yang turut dihadiri agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Konflik di Asia Barat memberi kesan termasuk peningkatan harga minyak yang seterusnya menyebabkan kos logistik pengangkutan laut dan udara meningkat, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan barangan, katanya.
Beliau berkata gangguan dan faktor keselamatan terhadap laluan perdagangan antarabangsa juga boleh menyebabkan kelewatan ketibaan barangan ke Sabah serta menjejaskan eksport barangan tertentu.
Oleh yang demikian, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan langkah sewajarnya diambil untuk mengurangkan kesan kepada pengguna di Sabah, katanya.
-- BERNAMA