KUALA LUMPUR: Tradisi rumah terbuka Aidilfitri terus menyemai semangat muhibah dengan sambutan di beberapa negeri berlangsung meriah.
Di SARAWAK, orang ramai membanjiri pekarangan Astana Negeri, Kuching bermula 9 pagi bagi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat, usia, kaum dan agama disajikan dengan aneka juadah selain mengambil peluang untuk beramah mesra dengan pemimpin negeri.
Di JOHOR, rakyat pelbagai kaum mengunjungi Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana, Johor Bahru seawal 8 pagi.
Orang ramai dijamu dengan pelbagai juadah tradisional dan moden termasuk ketupat, lemang, rendang, soto dan mi rebus selain kuih-muih dan pelbagai minuman.
Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani berangkat ke Majlis Istana Terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan barisan Exco kerajaan negeri.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional selain pengunjung turut mengambil peluang merakam kenangan di pekarangan istana.
Sementara itu, di PERLIS, kira-kira 8,000 tetamu menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri @ Istana Arau yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh muhibah.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mencemar duli menyantuni pengunjung serta menyampaikan duit raya dengan diiringi Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan kerabat diraja.
Majlis dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional dan rata-rata pengunjung menyifatkan penganjurannya sebagai pengalaman bermakna yang mengeratkan hubungan rakyat dengan institusi diraja.
Pengunjung Mohd Faizal Ahmad, 35, dari Kangar berkata teruja dapat hadir dengan keluarga kerana berpeluang merasai suasana rumah terbuka di istana.
Di PERAK, keberangkatan tiba Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada 3.10 petang menyerikan majlis sambutan Aidilfitri peringkat negeri di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Baginda berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 69 kanak-kanak daripada Persatuan Anak-Anak Yatim Soleha Tanjung Tualang, The Salvation Army Ipoh Childrens Home Care Centre, The Salvation Army Ipoh Boy’s Home Care Centre dan Rumah Kanak-Kanak Sultan Abdul Aziz, Kuala Kangsar.
Selain itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan meninjau gerai-gerai di pekarangan stadium serta menyantuni orang ramai yang hadir sebelum berangkat pulang.
-- BERNAMA