Skip to main content

Malaysia

RTS Link: Malaysia harap Singapura setuju kekal sementara Shuttle Tebrau

KUALA LUMPUR, 17 Mac -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (tengah) bercakap pada sidang media selepas menyampaikan edaran pek Hari Raya Aidilfitri 2026 kepada penumpang KTMB di Stesen Sentral Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony Loke berkata hasrat itu telah dibangkitkan kepada kerajaan Singapura namun belum mendapat kata putus. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Malaysia berharap Singapura dapat mempertimbangkan permintaan agar perkhidmatan KTMB Shuttle Tebrau dikekalkan sementara waktu setelah RTS Link beroperasi kelak. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata hasrat itu telah dibangkitkan kepada kerajaan Singapura namun belum mendapat kata putus.

“Walaupun Malaysia berharap perkhidmatan ini dapat dikekalkan sementara waktu tetapi ini memerlukan kelulusan Singapura.

“Kalau ikut perjanjian, kita perlu akui dan terima bahawa perjanjian dua hala untuk RTS Link juga mewajibkan KTMB Shuttle Tebrau perlu ditamatkan enam bulan selepas RTS Link beroperasi,” katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita selepas melawat projek RTS Link dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (ICQ) serta Stesen RTS Bukit Chagar di sini hari ini.

Perkhidmatan Shuttle Tebrau yang beroperasi sejak 1 Julai 2015 menghubungkan JB Sentral dan Woodlands Train Checkpoint (WTCP) dalam tempoh lima minit perjalanan merentasi sempadan Malaysia-Singapura.

Perkhidmatan itu dengan harga tiket RM5 sehala dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral mampu membawa 8,635 penumpang sehari dengan kekerapan 31 trip untuk kedua-dua hala.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Johor berpendapat laluan KTM Shuttle Tebrau sepanjang 1.1 kilometer berpotensi untuk dimanfaatkan sebagai laluan motosikal atau pejalan kaki yang lebih selamat selepas penamatan perkhidmatan itu. 

Berhubung kadar tambang perkhidmatan RTS Link, beliau berkata operator perkhidmatan iaitu RTS Operations Pte Ltd (RTSO) sedang membuat kajian mengenainya sebelum dijangka dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.

Ditanya kemungkinan memperkenalkan pas bermusim RTS Link, Loke berkata sebarang cadangan berkaitan perkara itu perlu dibincangkan bersama-sama RTSO dan mendapatkan kelulusan lembaga syarikat tersebut.

“Ikut pengalaman kita, mana-mana pas bermusim jika hendak berbaloi kena ada tanggungan kerajaan. Jadi pada pihak kami, sudah tentu jika bercakap tentang pas bermusim, kita hanya bercakap bagi pas bermusim untuk rakyat Malaysia. 

“Kita tidak akan memberi subsidi kepada warga asing. Begitu juga untuk Singapura, jika mereka mahu menyediakan pas bermusim, saya pasti mereka hanya akan bercakap tentang rakyat mereka. Jadi, ini perkara yang perlu diteliti oleh kerajaan masing-masing,” katanya. 

-- BERNAMA 

Must Watch Video