PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) giat memperkukuh tadbir urus sektor hartanah melalui pelaksanaan agenda Reformasi Perumahan MADANI, dengan sasaran mencapai sifar projek sakit menjelang 2030.
Menterinya Nga Kor Ming berkata reformasi itu menumpukan kepada penambahbaikan sistem, pengukuhan pemantauan serta peningkatan ketelusan bagi memastikan kepentingan pembeli terus terpelihara.
"Reformasi perumahan itu juga memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah yang selamat dan berdaya huni," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Antara langkah utama yang telah dilaksanakan termasuk memperkukuh mekanisme audit Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) bagi memastikan setiap bayaran pembeli digunakan sepenuhnya untuk pembangunan projek.
Selain itu, sistem Pemantauan Perumahan Bersepadu (HIMS) turut diperkasakan bagi membolehkan pemantauan kemajuan projek, aliran kewangan, serta status lesen pemaju dilakukan secara masa nyata.
Nga berkata KPKT juga menambah baik sistem TEDUH bagi memudahkan bakal pembeli membuat aduan sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pemaju.
Beliau berkata dalam usaha memperluas kawal selia, kerajaan turut menggubal Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) bagi merangkumi pembangunan residensi di atas tanah komersial.
Di samping itu, pelaksanaan sistem e-SPA diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan urus niaga serta mengelakkan sebarang manipulasi dokumen atau kelewatan yang tidak munasabah.
"KPKT akan terus memastikan sektor perumahan negara bukan sahaja berkembang dari segi nilai transaksi, tetapi juga meningkat dari segi kualiti pembangunan, kecekapan sistem serta kualiti hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan akses rakyat kepada perumahan, sekali gus menyokong perkembangan mampan sektor hartanah.
Sektor hartanah Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila nilai transaksi hartanah negara mencatat rekod tertinggi melebihi RM240 bilion dalam tempoh sedekad pada 2025.
Beliau berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan tinggi pelabur serta kekuatan asas ekonomi negara.
Menurut Laporan Pasaran Harta 2025, jumlah nilai transaksi telah menokok sebanyak 4.1 peratus kepada RM241.87 bilion berbanding 2024, dan melibatkan sebanyak 416,413 transaksi.
-- BERNAMA