PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dan menyita harta bernilai RM7.7 juta melalui Op Middleman, yang menyasarkan individu dipercayai terlibat dalam rasuah melibatkan penguat kuasa jalan raya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata jumlah itu merangkumi wang tunai, kenderaan mewah, barang kemas dan pembekuan puluhan akaun individu serta syarikat hasil risikan tiga bulan.
Beliau berkata nilai keseluruhan pembekuan dan sitaan adalah RM7.69 juta, merangkumi wang tunai, 25 kenderaan mewah bernilai RM2.5 juta, barang kemas RM40,000, 27 telefon bimbit dan 41 unit walkie-talkie.
"Selain itu, kami membekukan sebanyak 59 akaun individu yang terlibat dengan tonto-tonto berkenaan, termasuk akaun tonto dan akaun syarikat berkaitan, dengan jumlah keseluruhan pembekuan dan sitaan berjumlah RM7,697,465.19," katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Azam berkata seramai 18 individu telah ditahan dalam Op Middleman yang bermula 24 Februari lalu, bagi menyiasat sindiket perantara yang menawarkan rasuah kepada pegawai penguat kuasa jalan raya.
Antara yang ditahan ialah empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), empat anggota polis trafik, dua pemilik syarikat, tujuh tonto dan seorang individu awam dipercayai pemilik akaun keldai.
"Nama-nama mereka atau pihak tonto ini telah ada dalam senarai yang dikongsikan, dan sebelum itu SPRM telah menjalankan kerja-kerja perisikan yang mana kita mengesan kedudukan mereka.
"Kita telah membuka banyak kertas siasatan. Setiap orang yang ditangkap itu satu kertas siasatan. Bilangan saksi tidak begitu ramai dan setakat ini kita telah merakam lebih kurang empat orang saksi, selain akan ada beberapa orang lagi saksi," tambahnya.
Beliau menjelaskan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 terhadap tonto, manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17(a) kerana dipercayai menerima suapan.
Menurut Azam, modus operandi sindiket ialah menawarkan rasuah bagi melindungi lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya, termasuk membawa muatan berlebihan.
SPRM turut meneliti akaun digital dan kemungkinan penglibatan pihak lain, dan tidak menolak operasi sama akan diperluas ke negeri lain.