Skip to main content

Malaysia

Rakyat Malaysia dinasihat jadual semula perjalanan ke Algeria, Tunisia

41742209109_tbKLIA.jpg
Rakyat Malaysia turut digesa supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini mengenai situasi di rantau berkenaan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya mengelakkan perjalanan tidak penting ke Algeria dan Tunisia susulan ketegangan serantau yang berterusan serta pengurangan ketara perkhidmatan penerbangan ke kedua-dua negara berkenaan.

Kedutaan Besar Malaysia di Algiers memaklumkan rakyat Malaysia yang mempertimbangkan untuk melakukan perjalanan ke Algeria dan Tunisia supaya menjadualkan semula rancangan mereka sehingga keadaan bertambah baik dan perjalanan yang selamat dapat dipastikan.

“Langkah berjaga-jaga ini penting demi keselamatan dan kesejahteraan anda,” menurut kedutaan dalam kenyataan yang dikongsi di Facebook pada Khamis.

Kedutaan Besar Malaysia di Algiers turut menggesa rakyat Malaysia yang masih belum mendaftarkan keberadaan mereka di Algeria dan Tunisia dengan kedutaan supaya memaklumkan perkara itu kepada perwakilan berkenaan dengan menghantar e-mel ke [email protected].

“Ini membolehkan kami menyalurkan maklumat sekiranya berlaku sebarang kecemasan serta memberikan bantuan yang diperlukan sepanjang tempoh anda berada di sana," menurut kedutaan itu.

Rakyat Malaysia turut digesa supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini mengenai situasi di rantau berkenaan.

“Adalah penting untuk sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan anda pada setiap masa,” katanya.

Menurut kedutaan itu, memandangkan konflik yang sedang berlaku dan menjejaskan Timur Tengah, pihaknya amat menekankan kepentingan menyemak nasihat perjalanan rasmi sebelum membuat sebarang pengaturan perjalanan.

“Kami amat mengesyorkan agar mengelakkan semua perjalanan yang tidak penting ke negara yang terjejas sehingga keadaan kembali stabil dan lebih sesuai untuk perjalanan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video