Skip to main content

Malaysia

Rafizi saran Menteri Pendidikan lebih terbuka, isu buli sekolah perlu tindakan tegas

61755402725_rafiziramlifadhli.jpg
KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, disaran agar lebih terbuka menerima pandangan rakyat dan tidak bersikap defensif dalam menangani isu-isu pendidikan, termasuk kes buli di sekolah yang semakin membimbangkan.


Ringkasan AI
  • Rafizi saran Fadhlina lebih terbuka dan tidak defensif dalam tangani isu pendidikan, termasuk kes buli yang semakin membimbangkan.
  • Kementerian perlu dengar suara rakyat, bukan gambarkan semua masalah sudah selesai - rakyat mahu tindakan dan penyelesaian jelas.
  • Kes buli Allahyarham Zara Qairina Mahathir cetus simpati, jadi simbol keperluan jaminan keselamatan murid dan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan.


Saranan itu disuarakan oleh Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menerusi podcast terbaharu beliau yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi.

Beliau menekankan bahawa pendekatan inklusif dan responsif amat penting dalam menangani cabaran pendidikan negara yang bersifat kompleks dan berlapis.

Rafizi menyifatkan Kementerian Pendidikan sebagai antara kementerian paling mencabar kerana berdepan isu operasi harian seperti pengurusan sekolah, guru dan murid, selain perlu merancang masa depan sistem pendidikan negara.

“Saya nak tegur Fadhlina sendiri. Sebagai Menteri, kita perlu terbuka dengan pandangan semua orang. Jangan gambarkan semua masalah seolah-olah sudah selesai. Rakyat mahu lihat tindakan sebenar dan penyelesaian yang jelas,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sikap menerima teguran secara positif adalah kunci kepada reformasi pendidikan yang berkesan.

Podcast tersebut turut menyentuh insiden buli melibatkan seorang murid, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, yang didakwa mengalami tekanan emosi serius sehingga dikaitkan dengan masalah jantung.

Kes itu mencetuskan gelombang simpati dan desakan agar Kementerian Pendidikan mengambil langkah lebih tegas terhadap isu keselamatan murid.

Rafizi menyatakan bahawa pendidikan bukan sekadar soal akademik, tetapi asas pembentukan negara bangsa.

Kegagalan menangani isu semasa seperti buli boleh memberi kesan jangka panjang terhadap generasi muda dan masa depan negara.





Must Watch Video