JOHOR BAHRU: Kerja menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) daripada empat kepada enam lorong telah mencapai kemajuan fizikal 83 peratus dengan sebahagian laluan sepanjang 6.4 kilometer (km) telah dibuka kepada pengguna.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek naik taraf bagi Persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting hingga Pasir Gudang dengan jajaran sepanjang 10 km itu dijangka mampu membantu mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku di laluan berkenaan.
Beliau berkata baki laluan utama sepanjang 3.6 km dijadual dibuka sepenuhnya menjelang Ogos ini.
“Kerja akhir termasuk kemasan dan penyelarasan infrastruktur lain akan diteruskan hingga siap sepenuhnya pada November 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, beliau berkata persimpangan Taman Kota Puteri dan Taman Teluk Tropikana di Lebuhraya Permas-Pasir Gudang menggunakan sistem lampu isyarat pintar sebagai langkah penambahbaikan.
Onn Hafiz berkata penggunaan sistem lampu isyarat pintar itu bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan aliran trafik terutama pada waktu puncak.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha penambahbaikan infrastruktur jalan raya dan sistem pengangkutan bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya di negeri itu.
Kementerian Kerja Raya sebelum ini dilaporkan berkata kerja menaik taraf bagi Fasa 2B yang melibatkan Bandar Seri Alam / Taman Rinting hingga Persimpangan Pasir Gudang itu dijangka siap Julai tahun ini.
Sementara Fasa F3 di Persimpangan Perling hingga Persimpangan Kangkar Tebrau dijangka bermula tahun ini dan siap pada 2028.
-- BERNAMA