PUTRAJAYA: Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0), inisiatif pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela berjaya menjana kutipan hasil lebih RM114 juta setakat ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban.
Beliau berkata PRM 2.0 yang bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April ini mencatatkan 228,961 pendaftaran dengan 204,523 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
“Kalau rekod kita yang tertinggi, masih Indonesia (pemohon), yang kedua Bangladesh,” katanya pada sidang media Ops Serkap, di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengemukakan permohonan untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan PRM 2.0, namun masih belum ada keputusan mengenainya.
“Kita memang mohon untuk lanjut, tetapi perkara itu belum dapat apa-apa keputusan. Insya-Allah nanti kalau sudah ada keputusan, menteri (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) akan mengumumkannya,” katanya.
Saifuddin Nasution sebelum ini berkata kerajaan bersetuju melanjutkan PRM 2.0 bermula 19 Mei 2025 hingga 30 April ini khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Saifuddin Nasution berkata melalui program itu, kompaun sebanyak RM500 dikenakan bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan, manakala kompaun RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
PRM 2.0 ialah program pengampunan pulang pendatang tanpa izin secara sukarela dengan mereka dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan tertentu.
-- BERNAMA